Oleh : Muhammad Tarmizi Abd Rahman
Tanjong Malim, 6 Mac – Universiti Pendidikan Sultan Idris, menjadi pelopor atau universiti pertama di peringkat pengajian tinggi yang telah melaksanakan program Ulul Albab kepada pelajar-pelajarnya. Sebelum ini, pelaksanaan modul Ulul Albab hanya berlaku di beberapa buah sekolah di setiap negeri di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang dikenali sebagai Tahfiz Model Ulul Albab Sekolah Menengah KPM, serta juga di bawah MARA yang dikenali sebagai MRSM Ulul Albab, dan juga terlebih awal telah bermula di beberapa buah sekolah IMTIAZ di Terengganu.
Dengan penubuhan Pusat Ulul Albab UPSI, yang secara rasminya diluluskan oleh Mesyuarat Lembaga Pengarah UPSI bertarikh 28 Disember 2017, UPSI menjadi satu-satunya universiti awam di Malaysia pada hari ini yang melaksanakan program Ulul Albab kepada semua pelajarnya, bermula dengan pelajar baharu pada setiap sesi kemasukan.
Pengarah pertama yang diberi amanah untuk menerajui Pusat Ulul Albab UPSI adalah En. Wan Ahmad Zakry Wan Kamaruddin, Pensyarah yang dipinjamkan daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang juga merupakan Mantan Pengetua pertama Sekolah IMTIAZ Terengganu. Beliau mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam membina kurikulum dan menguruskan sekolah model ulul albab ini.
Menurut En. Wan Ahmad Zakry, secara ringkasnya definsi ulul albab adalah satu golongan yang mempunyai asas kukuh dalam Al Qur’an, ilmu pengetahuan yang luas dan pelbagai, mampu berfikir dan memerhati kejadian Tuhan melalui mata hati dan akal yang tajam serta mengambil iktibar darinya.
Tiga komponen utama yang menjadi tunjang kepada program ulul albab adalah Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik. Quranik adalah menjadikan Al-Quran sebagai sumber ilmu dalam membentuk hati dan membina keperibadian, perwatakan dan jiwa yang positif. Ensiklopedik pula adalah memfokuskan dan mengasah bakat komunikasi, serta kepelbagaian ilmu dan kemahiran lain termasuk penguasaan bahasa asing. Manakala Ijtihadik adalah melahirkan generasi yang berkeupayaan berdepan dengan kepelbagaian cabaran, di samping berfikiran kreatif dan inovatif serta berteknologi tinggi.
Melalui penerapan 3 komponen Ulul albab ini, dengan sedikit pengubahsuaian yang bersesuaian dengan pengajian di peringkat institusi pengajian tinggi, UPSI berhasrat melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai nilai tambah serta berbeza dengan graduan-graduan universiti lain. Hasrat ini terzahir daripada objektif penubuhan Pusat Ulul Albab itu sendiri, iaitu antaranya:
- Berfungsi sebagai pusat sokongan kepada Universiti dalam menyediakan latihan, kursus, modul, kajian dan aktiviti kepada pelajar berasaskan model Ulul Albab yang merangkumi komponen Quranik, Enskilopedik dan Ijtihadik (QEI).
- Melahirkan pelajar yang holistik, bersepadu dan seimbang berdasarkan konsep Ulul Albab yang merangkumi kompenen Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI) yang turut digabung jalinkan dengan modul Neuro-linguistic Programming (NLP).
- Melatih pelajar UPSI dalam menjana dan membina matlamat diri yang positif dan mantap.
- Melahirkan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global.
- Melahirkan pelajar yang sentiasa berani untuk mencuba perkara baru, kreatif, inovatif dan seimbang selari dengan konsep QEI.
- Melahirkan sekumpulan pelajar universiti yang terlatih dengan modul Ulul Albab, yang boleh menjadi penggerak kepada program-program Ulul Albab di peringkat universiti khasnya dan Universiti Awam yang lain amnya
- Menghasilkan sekumpulan pelajar yang boleh dijadikan sebagai Ikon/Tokoh Ulul Albab dalam masyarakat
Program Ulul Albab dibangunkan khas untuk pelajar-pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda UPSI yang dilaksanakan dalam tiga (3) Peringkat. Peringkat pertama adalah berbentuk ceramah umum yang melibatkan semua pelajar baharu. Program P1 ini adalah sebagai asas pengenalan bagi menimbulkan minat dan kesedaran kepada pelajar-pelajar baharu untuk terus mengikuti program ulul albab di peringkat yang seterusnya.
Peringkat kedua (P2) adalah program yang lebih berfokus, iaitu berbentuk bimbingan kemahiran secara intensif atau yang lebih dikenali sebagai Training of Trainers (ToT). Pada peringkat kedua ini, hanya 10% sahaja mewakili setiap fakulti daripada jumlah pelajar baharu yang akan dipilih mengikuti program ini. Pelajar-pelajar akan disaring berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan, iaitu (i) Minat untuk meneruskan program Ulul Albab, (ii) mengikuti sepenuhnya program pada P1, (iii) Aktif berinteraksi di Google Classroom PUA, (iv) menghadiri pertemuan mingguan bersama PUA, (v) Mendapat perakuan fakulti. Program P2 ini adalah kesinambungan daripada P1, di mana objektifnya adalah melahirkan sekumpulan pelajar universiti yang terlatih dengan modul Ulul Albab, yang boleh menjadi penggerak kepada program-program Ulul Albab di peringkat fakulti masing-masing dan juga universiti amnya. Kumpulan ini dikenali sebagai “Sahabat Ulul Albab”, yang akan dibekalkan dengan sedikit bantuan kewangan untuk menjalankan program/aktiviti bagi semarakkan “Ulul Albab” di kalangan rakan-rakan fakulti yang lain.
Peringkat ketiga (P3), adalah Program khas sekumpulan pelajar yang disaring (10%) daripada P2 “cream of the cream”. Program ini berbentuk sangkutan/praktikal (attachment) di agensi/pusat luar yang terpilih, di mana pelajar-pelajar akan mengaplikasikan semua ilmu dan kemahiran yang diperolehi dari P1 dan P2. Kumpulan khas pelajar yang telah mengikuti P3 ini, akan menjadi ikon dan pemimpin Ulul Albab di universiti yang akan menggerakkan keseluruhan “Sahabat Ulul Albab” di universiti.
Pada tahun pertama pelaksanaan program Ulul Albab di UPSI, beberapa orang panel/tokoh agamawan dan motivasi dari luar telah dilantik untuk membantu menyemarakkan “ulul albab” dalam program di P1. Panel-panel yang dilantik ini adalah pakar dalam bidang masing-masing yang setelah digabungkan dapat melengkapkan 3 komponen utama ulul albab iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.
Antara panel-panel yang terlibat adalah Dato’ Dr Danial Zainal Abidin dengan tajuknya “Quranik Saintifik”, serta Tn Hj Pahrol bin Mohamad Juoi dengan tajuknya “Mukmin Profesional” yang menjurus kepada komponen Quranik, pasangan CoachRidz dan CoachSha dengan tajuknya “Soleh English” serta Dato’ Mahamud Abdul dengan tajuknya “Easy Arabic” yang menjurus kepada komponen Ensiklopedik, begitu juga Tn Hj Badrul Sani Baharudin dengan tajuknya “Bijak Berbicara”. Manakala dalam komponen Ijtihadik pula telah menampilkan, En Osman Affan dengan tajuknya “Smart Study” dan Tn Hj Fadzli Yusof dengan tajuknya “Transformasi Diri”. Pelajar-pelajar non-muslim juga turut dilibatkan dalam peringkat 1 ini, di mana mereka telah mengikuti dua slot perbincangan bersama panel, iaitu En. Muhammad Hasbi bin Abdul Rahman, pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI dengan tajuknya “Bicara Hati” dan Dr Hj Mohd Arip Kasmo, bekas Prof. Madya UKM dengan tajuknya “Ethics Scientific “science and religion, reason and revelation”.
Sebagai sebuah universiti pendidikan yang melahirkan bakal guru, Pusat Ulul Albab tampil membantu pihak universiti merealisasikan hatujunya untuk menjadi universiti no.1 dalam pendidikan di Malaysia dan di rantau Asia, melalui penghasilan graduan ulul albab yang mempunyai nilai tambah serta ciri-ciri Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik dalam kualiti pendidikan.
#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia#soaringupwards#pioneeringversatility #upsino1pendidikan
UPSI, Universiti No.1 Pendidikan | UPSI, No.1 Education University