Tanjung Malim, 7 September – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Institut Peradaban Melayu (IPM) dalam usaha memperkukuhkan dan memartabatkan Bahasa Melayu buat julung kalinya menganjurkan Persidangan Antarabangsa Peradaban Dan Warisan Melayu 2021 (PERWARA’21).

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, persidangan itu adalah usaha yang sangat murni untuk kita menyelidik dan mengenali semula Peradaban dan Warisan Melayu kita yang diharapkan boleh disebar keseluruh pelusuk dunia. Ianya amat digalakkan agar dapat menyemarakkan perbincangan secara ilmiah oleh para ilmuan tentang penyelidikan selain mampu menjadi medan penyebaran ilmu dalam ranah Peradaban dan Warisan Melayu.

“Lapan ranah yang berkaitan Peradaban dan Warisan Melayu yang diketengahkan dalam persidangan ini dilihat mencakupi keseluruhan dunia Melayu seperti Bahasa dan Kesusasteraan, Warisan dan Budaya Melayu, Falsafah Melayu, Genelogi dan lain-lain,”.

Bertemakan “Kelangsungan Penyelidikan Peradaban dan Warisan Melayu” persidangan ini diharapkan dapat mengumpulkan pelbagai kajian berkaitan peradaban dan warisan Melayu untuk diketengahkan dan dikomersialkan jika berkaitan. Usaha penyelidikan ke arah penemuan-penemuan baru melalui perkongsian idea dan maklumat berkaitan peradaban dan warisan Melayu perlu disebarluas dalam pelbagai bentuk dokumentasi yang boleh menjadi rujukan generasi akan datang,’ katanya.

Sementara itu, Pengarah IPM, Prof. Madya Dr. Samsudin Suhaili menyatakan pihaknya menerima puluhan makalah dalam persidangan tersebut melibatkan penyelidik dari dalam dan luar negara, termasuk, China, Jerman, Jepun, dan Indonesia.

Dalam majlis perasmian yang diadakan secara maya itu, Prof. Dr. Mikihiro Moriyama dari Universiti Nanzan, Nagoya, Jepun selaku pengucaptama pertama turut menyampaikan pembentangan bertajuk Sejarah Perkembangan Pembelajaran Bahasa Melayu di Jepun.

“Kesemua makalah tersebut menyentuh hampir kesemua aspek peradaban Melayu merangkumi aspek Bahasa dan kesusasteraan, warisan dan budaya Melayu, falsafah Melayu, politik, agama dan sistem kepercayaan, orang Asal dan etnik Pribumi, ekonomi, sains dan teknologi, genealogi dan institusi raja,” katanya.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)