KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memantapkan sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) bagi mengelak isu tekanan pelajar berikutan sekolah hanya dibuka secara berperingkat mengikuti fasa Pelan Pemulihan Negara mulai 3 Oktober ini.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata tinjauan KPM yang menunjukkan lebih separuh pelajar (responden) tertekan dengan sistem PdPR bukanlah perkara mengejutkan, sebaliknya ia terbukti sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan.
“Sistem pendidikan negara kita mengalami pengalaman yang buruk sepanjang pandemik berlaku. Malaysia adalah antara negara yang paling lama menutup sekolah di dunia.
“Walaupun PdPR dilaksanakan, tahap keberkesanan pembelajaran melalui PDPR sering dipertikaikan. Penambahbaikan program PdPR masih diperlukan buat masa sekarang sehinggalah semua sekolah dibuka semula,” katanya
Beliau berkata, program pemberian peranti seperti yang dijanjikan oleh KPM juga perlu diteruskan.
Sementara itu, Ketua Jabatan di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Azizah Zain, berkata pandemik COVID-19 tidak seharusnya menjadi sebab pembelajaran generasi muda terhenti.
Beliau berkata, PdPR adalah pilihan terbaik ketika ini, namun sistem itu tidak sepatutnya memberi tekanan kepada pelajar, guru dan ibu bapa.
“Terdapat keperluan untuk menyemak semula silibus pembelajaran, selain menimbangkan kemungkinan untuk memberi penekanan kepada subjek teras sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, banyak cabaran dalam pelaksanaan PdPR, antaranya isu kurang tumpuan pelajar terhadap pembelajaran yang menyebabkan timbulnya masalah ‘ponteng sekolah’, seperti kajian Fakulti Pendidikan, UKM yang mendapati kehadiran murid dalam proses PdPR tidak mencapai 80 peratus.
Katanya, kajian diketuai Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor itu mendapati 70 peratus hingga 80 peratus guru menyebut cabaran utama pelaksanaan PdPR adalah sukar untuk memperoleh perhatian pelajar disebabkan pelbagai faktor, antaranya kekurangan gajet, capaian Internet dan juga kelemahan infrastruktur.
“Selain itu, 50 peratus hingga 60 peratus guru tidak selesa melaksanakan pengajaran secara dalam talian, manakala 50 peratus hingga 60 peratus melakukan PdPR dalam tempoh antara satu atau dua jam sahaja,” katanya.
Azizah berkata, merujuk kepada manual PdPR yang dikeluarkan KPM, guru dikehendaki merancang Rancangan Pengajaran Harian (RPH) berdasarkan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) yang disusun.
“Berdasarkan pernyataan itu, sudah tentu guru akan menghabiskan silibus kerana RPT yang disediakan merangkumi semua topik dan kemahiran dalam mata pelajaran berkenaan.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan guru menghadapi tekanan dalam menyediakan kandungan pengajaran dan pembelajaran bagi semua topik untuk disampaikan secara talian,” katanya.
Beliau berkata, bebanan itu boleh dikurangkan dengan mengenal pasti topik yang penting untuk disampaikan kepada pelajar.
Selain itu, katanya, isu tekanan pelajar juga akan memberi kesan kepada kesihatan pelajar, seperti lesu dan masalah kesihatan mata jika terlalu lama menghadap skrin.
- bhnews