SETIAP graduan yang meninggalkan kampus pasti mengharapkan dapat pekerjaan. Dengan pekerjaan, mereka memiliki pendapatan untuk membantu keluarga atau merancang masa depan.
Namun, realitinya seperti dilaporkan BH kelmarin, persekitaran ekonomi kurang memberangsangkan tahun lalu memberi kesan kepada kedudukan pasaran buruh sehingga bilangan siswazah menganggur meningkat ketara 22.5 peratus kepada 202,400 orang.
Ia menyebabkan kadar pengangguran siswazah naik 0.5 mata peratus kepada 4.4 peratus berbanding 3.9 peratus pada tahun sebelumnya.
COVID-19 memberi impak terhadap sistem ekonomi negara ini yang menyebabkan peluang pekerjaan terjejas teruk. Kita sedia maklum kerajaan berusaha sedaya mungkin untuk memulih sistem ekonomi menerusi pelbagai pelan seperti Pakej Bantuan Pemulihan Ekonomi Nasional untuk perlindungan rakyat Malaysia meliputi bujang, B40, M40 serta T20.
Hakikatnya, negara ini mempunyai 20 universiti awam (UA), lebih 30 politeknik dan ratusan universiti serta kolej swasta. Ini bermakna, setiap tahun negara berdepan dengan kelahiran ribuan graduan daripada pelbagai latar belakang keluarga, termasuk dari pedalaman.
Berbekalkan pengalaman peribadi selama 28 tahun mengusahakan perniagaan selepas tamat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hingga menjadi seperti hari ini, saya berpendapat graduan tidak boleh mengharapkan kerjaya dikejar mereka sama dengan ijazah dimiliki.
Dalam situasi semasa, strategi pekerjaan perlu berubah. Graduan perlu bersifat kreatif mencipta pekerjaan atau perniagaan. Jika menjual goreng pisang menemui laluan sukar, kita boleh tukar kepada menjual bertih jagung secara dalam talian.
Malah, graduan boleh memilih sesuatu pekerjaan permulaan seperti menjadi penyapu sampah, namun ia bukan satu pengakhiran kepada kerjaya. Graduan dididik untuk berfikir aras tinggi dengan budaya pantas menyiapkan tugasan oleh pensyarah di universiti.
Rangka minda latihan di universiti dididik pensyarah memberi kelebihan besar kepada graduan dalam menentukan masa depan mereka.
Graduan menceburi bidang keusahawan perlu memahami bidang industrinya dan mengkaji untuk mengembangkan perniagaan itu.
Justeru, pekerjaan peringkat bawahan, hanya batu loncatan untuk mengembangkan perniagaan yang sesuai dengan pemikiran tingginya. Bakat dimiliki juga perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan boleh disesuaikan dengan pelbagai situasi serta kemungkinan.
Perlu difikirkan, graduan di universiti dibentuk untuk berfikir dalam suasana tertekan. Bidang keusahawanan adalah gelanggang orang yang sanggup mengambil cabaran, bertindak dengan cepat dan cekap serta bijak memahami pola perniagaan dalam suasana sebenar.
Agak penting juga, perasaan ego, sombong dan berasa diri hebat harus dibuang. Sikap inilah meruntuhkan harapan orang lain untuk memberi peluang kepada graduan.
Biar kita merendah diri dan mesra kerana itulah cerminan seorang usahawan cepat membina komunikasi dan boleh mencipta rangkaian baharu. Graduan tidak boleh kecewa, harus kuat bertahan mentalnya dalam mengharungi kehidupan hari ini.
Usahawan daripada graduan Melayu perlu merebut peluang terhadap kontrak disediakan kerajaan. Lihat sahaja Donald Trump, beliau jutawan besar dan hebat, tetapi tetap berusaha mendapatkan peluang daripada kontrak kerajaan.
Graduan juga perlu mencari peluang baharu kerana mereka memiliki ilmu tinggi dalam bidang pengajian. Justeru, graduan sangat cepat memahami dunia dan proses perniagaan.
Bertindak kreatif dengan langkah energetik dan proaktif adalah cerminan keperibadian unggul. Dalam konteks ini, graduan juga perlu menjadi pencipta pekerjaan, bukan pemburu pekerjaan.
Umpamanya graduan pendidikan, tidak semestinya bergantung kepada peluang sebagai guru sekolah. Banyak institusi pendidikan menanti kehadiran mereka, bukan sahaja di dalam, malah di luar negara. Semuanya bergantung kepada sikap dan sejauh mana mereka berfikiran terbuka dalam meneroka peluang pekerjaan.
Graduan juga perlu merebut geran atau pinjaman disediakan pelbagai agensi kerajaan. Saya mengamati situasi kesabaran usahawan sangat tipis apabila mereka gagal mendapat pinjaman, Majlis Amanah Rakyat (MARA) umpamanya begitu mudah, tetapi tidak direbut sebaik mungkin.
Carilah institusi yang menyediakan peluang pinjaman diwujudkan kerajaan yang kosnya lebih rendah berbanding institusi kewangan swasta. Jika kerajaan sendiri membuat pinjaman dalam mentadbir negara, inikah pula kita sebagai usahawan atau graduan baru menapak.
Saya teringat kata-kata Bruce Lee yang boleh dipinjam untuk dijadikan teladan, iaitu usahawan perlu bersifat seperti air. Bentuk air akan berubah sesuai dengan bentuk pembentungnya. Ini falsafah sangat bernilai untuk graduan dalam perjuangan membina kejayaan dan tidak mustahil sebuah empayar perniagaan.
Penulis adalah Prof Adjung Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan pengasas syarikat tenaga boleh diperbaharui
-BH Online