Tanjung Malim 29 September 2021 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menyerahkan Modul Jauhar yang dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) kepada Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) baru-baru ini secara dalam talian.
Menurut Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa berkata pembangunan modul Jauhar ini merupakan satu inisiatif hasil kerjasama antara pihak YPKDT dan NCDRC untuk dijadikan bahan pengajaran dan pembelajaran awal kanak-kanak di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) YPKDT yang dikenali sebagai Jauhar Child Care Centre (JCC).
“Modul Jauhar didatangkan dengan empat buah modul berasingan mengikut peringkat bermula daripada bayi yang baru dilahirkan sehingga berumur empat tahun. Istimewanya rekaan grafik modul mengandungi elemen Negeri Johor dan penerapan keluarga sakinah serta dibangunkan hasil kepakaran pasukan penyelidik dan pendidik berpengalaman UPSI untuk YPKDT. Usahasama pembangunan dan penerbitan Modul Jauhar ini telah mewujudkan kesepakatan antara YPKDT dan UPSI dalam menentukan konsep, tema, illustrasi, grafik dan skop idea bagi kandungan modul,” jelasnya.
Penghasilan modul ini juga akan turut dimantapkan dengan program latihan berterusan kepada pendidik-pendidik di TASKA JCC dan penaziran daripada pihak NCDRC UPSI bagi melihat keberkesanan modul yang dibangunkan.
“Inisiatif baharu ini amat bertepatan dengan matlamat dan hasrat UPSI dalam memperkukuhkan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif dan jalinan kerjasama dengan pihak luar bagi meningkatkan reputasi terutamanya berkaitan pendidikan awal kanak-kanak,” jelas Mazlina lagi
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Pn. Nurul Naqiah Fadzil berkata usaha pembangunan modul Jauhar menyokong kepada matlamat penubuhan YPKDT bagi membentuk masyarakat yang harmoni, bahagia, sejahtera dan penyayang melalui pengukuhan Institusi Keluarga, membawa wanita ke arus pembangunan dan menangani masalah sosial.
“Kami berharap kerjasama antara UPSI dan YPKDT dapat berterusan ke arah usaha membentuk modal insan yang lebih mapan. Kesemua kerjasama ini dapat mewujudkan perkongsian pintar dalam aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman, dan kepakaran untuk meningkatkan kualiti dan martabat pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia dan serantau,” jelasnya.