- wartawan & foto: Mohd Nazirul Afiq Ismail (nazirul.ismail@upsi.edu.my) & Mohd Firdaus Ahmad Idris (Pelajar Latihan Industri Bahagian Komunikasi Korporat UPSI
Tanjung Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Persatuan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan hari ini menganjurkan program melepaskan anak ikan ke Sungai Bernam, sungai yang menjadi pemisah di antara negeri Perak dan Selangor.
Menurut Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin, Sungai Bernam telah menjadi nadi kepada warga Tanjung Malim dan Lembah Bernam bukan saja sebagai sempadan pemisah dua negeri, sebaliknya pernah menjadi sejarah sebagai laluan pedagang ke daerah ini suatu ketika dahulu.
“Sebagai sebuah universiti yang telah melalui perjalanan sejarah yang panjang semenjak zaman pra kemerdekaan sekitar tahun 1922, kedudukan Sungai Bernam terletak bersebelahan dengan Kampus Sultan Abdul Jalil telah lama diangkat sebagai sebahagian daripada UPSI sendiri,”
“Pihak Universiti saban tahun pasti akan mengadakan sekurang-kurangnya satu aktiviti berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai seperti mengutip sampah di sekitar kawasan dalam sungai, bukan saja memupuk kesedaran kebersihan sungai, sebaliknya menjadi tanggungjawab korporat universiti menyahut aspirasi penarafan antarabangsa UI Green Metric World University Ranking untuk melestarikan kampus hijau dan pengurangan karbon,” jelasnya ketika berucap di majlis perasmian.
Untuk rekod, UPSI hari ini telah melonjak penarafan kedudukan kampus hijau 176 daripada kedudukan 203 pada tahun lalu.
Menurut Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan Profesor Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim turut hadir pada majlis yang sama berkata, aktiviti melepaskan anak-anak ikan ke dalam Sungai Bernam sekaligus membantu pembiakan hidupan marin itu dalam ekosistem telah menjadi punca ekonomi baik sumber makanan masyarakat setempat selain menarik tumpuan pemancing ke daerah tersebut.
“Jika dilihat hampir setiap hari di sekitar kawasan sungai serta jambatan hubungan antara Ulu Bernam dan Tanjung Malim, lokasi ini menjadi tumpuan para pemancing tempatan dan luar kawasan untuk datang mencuba nasib mendapatkan hasil daripada sungai ini.
“Malah, pihak universiti menyantuni sendiri pemancing-pemancing ikan dan mendapatkan maklumat jenis ikan yang sesuai, jadi anak-anak ikan yang dilepaskan merupakan spesies jenis lampam yang sesuai dalam ekosistem Sungai Bernam,” jelasnya lanjut.