oleh: Dr Kesavan Nallaluthan

Usahawan wanita dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu proaktif dalam penerapan dunia berteknologi dalam perniagaan.

Golongan ini akan mengukuhkan dan meningkatkan produktiviti sekiranya bertindak proaktif dalam penguasaan teknologi, terutama pada fasa peralihan ke endemik COVID-19 1 April ini.

Apa dimaksudkan usahawan proaktif dalam dunia berteknologi ialah mereka yang dapat bertindak positif menerima perkembangan teknologi dan mengorak langkah lebih awal dengan strategi berteknologi dalam pengurusan perniagaan.

Menurut Laporan World Development Report (WDR) pada 2020, Google, YouTube dan Facebook antara 10 laman web paling banyak dikunjungi di 62 dari 77 negara berpendapatan rendah serta sederhana.

Ketiga-tiganya juga mempunyai purata waktu penggunaan harian tertinggi dihabiskan di laman web setiap pengguna kerana dijadikan medan perniagaan dan persaingan di pasaran dalam talian.

Terbukti keusahawanan berlandaskan teknologi dengan pembangunan inovasi, berjaya mengaut keuntungan tinggi, walaupun banyak negara sebelum ini dalam keadaan kawalan pergerakan penuh termasuk negara ini.

Bagaimanapun, ada kajian menunjukkan jurang perbezaan antara usahawan wanita dengan lelaki dalam berdepan kesan pandemik.

Bagi memahami impak sebenar terhadap perniagaan diketuai wanita, Bank Dunia melakukan tinjauan ke atas lebih 45,000 perniagaan membabitkan 49 negara, kebanyakannya berpendapatan rendah dan sederhana, bermula April hingga September tahun lalu.

Hasil kajian itu menunjukkan budaya proaktif berada dalam serba kekurangan, manakala penerapan teknologi dalam bidang perniagaan pada ketika COVID-19 sangat dialu-alukan.

Justeru, bagi membantu usahawan wanita terkesan akibat pandemik, banyak usaha diambil kerajaan seperti Bajet 2022 yang memperuntukkan dana pembiayaan RM230 juta antaranya menerusi program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah MARA dan Tekunita menerusi Tekun Nasional.

Usahawan wanita juga digalakkan memohon geran Projek Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Dalam ucapan pembukaan program Empowering Women Entrepreneurs, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan geran itu bertujuan mendorong peningkatan produktiviti keusahawanan.

Oleh itu, usahawan wanita perlu proaktif dan merebut peluang itu kerana daripada geran berorientasi teknologi itu, akan membuka peluang meningkatkan produktiviti perniagaan dengan bekerjasama dengan golongan akademik berkepakaran dalam menyelesaikan masalah.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan & Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

BH

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)