• oleh: Muhamad Fakhrullah Bin Farrok (Pegawai Kebudayaan UPSI)

Pada 17-18 Mac 2022 bertempat di Dewan Al-Farabi, Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) Kuala Nerus, Terengganu telah berlangsungnya Bengkel Teater dalam pendidikan anjuran Jabatan Pengajian Melayu Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI) Kuala Nerus, Terengganu dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris

Program ini merupakan program penerapan ilmu seni persembahan teater kepada bakal guru dalam konteks pembentukan karektor, keyakinan diri, pedagogi dan pengawalan bilik darjah.

Objektif program ini adalam memahami konsep teater dalam pendidikan, menerapkan ilmu lakonan seperti pembentukan karektor, vokal, emosi, aksi dan reaksi dalam konteks pengajaran dan membangunkan keyakinan diri dalam kalangan pelajar yang bakal menjadi guru

Program yang melibatkan 84 orang pelajar dapat memberi pendedahan bagi menyedarkan bahawa ilmu persembahan teater bukan sahaja untuk lakonan pentas semata-mata malah ia boleh diterapkan dalam pelbagai bidang kerjaya dan kehidupan. Kerjaya sebagai seorang guru menitikberatkan kemunculan guru tersebut sebagai ‘performer’ yang memenuhi setiap kriteria sebagai seorang pelakon.

Ilmu lakonan yang menekankan terhadap pembentukan karektor dan kawalan situasi merupakan satu cabang yang efektif untuk diterapkan dalam bilik darjah. Menerusi ilmu lakonan, guru berupaya untuk mencipta aksi dan menilai reaksi para pelajar selain membentuk keperibadian yang lebih menonjol menerusi aspek vokal, emosi, dan bahasa tubuh.

Dr Ghazali Ismail selaku Ketua Jabatan Pengajian Siswazah IPGKDRI telah mengambil inisiatif penganjuran bengkel ini bagi memberi pendedahan asas lakonan kepada bakal-bakal guru sebagai persediaan dalam bidang pekerjaan kelak. Beliau yang juga merupakan tenaga pengajar bidang teater dan drama turut berpendapat bahawa ilmu teater ini adalah bersifat universal dan perlu diterapkan dalam apa juga bidang yang diceburi.

Selaku penceramah jemputan Dr Muhammad Faisal Ahmad Pengarah Pusat Kebudayaan UPSI juga merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI mengatakan bahawa, “Setiap guru mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing namun kreativiti teknik pengajaran yang pelbagai harus diterapkan agar dapat mewujudkan satu suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Ilmu teater dilihat sebagai salah satu kaedah pengajaran yang efektif kerana ia melibatkan pembentukan karektor seorang guru dalam sebuah perjalanan naratif pengajaran yang mampu untuk mengenal dan mengawal para pelajar dalam ruang dan masa tertentu”

Penglibatan selebriti Arja Lee dalam satu sesi perkongsian telah menarik minat para peserta untuk turut melibatkan diri dalam aktiviti yang disediakan. Perkongsian mengenai cabaran dan halangan sebagai seorang selebriti dapat diterapkan dalam setiap bidang kerjaya terutamanya sebagai persediaan sebagai seorang guru menerusi membawakan diri, penampilan, dan persembahan.Arja Lee turut berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam menerapkan elemen didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah yang sejajar dengan saranan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi usaha transformasi teknik Pembelajaran Abad ke 21 (PAK21).

Melalui Strategi dan Pelaksanaan Objektif Kebudayaan Kebangsaan “ Pemulihan, pemeliharaan dan pembangunan kebudayaan ke arah menguatkan asas-asas Kebudayaan Kebangsaan melalui usaha sama penyelidikan, pembangunan, pendidikan, pengembangan dan perhubungan budaya”, Program seumpama ini perlu disemarakkan dalam setiap bidang terutamanya dalam kalangan pelajar dan masyarakat sebagai nilai tambah untuk membangunan karektor dan modal insan yang lebih berkualiti serta mampu berdaya saing bukan sahaja dalam konteks bidang tertentu sahaja malah bagi meningkatkan keperibadian, komunikasi dan karektor.

Peserta yang hadir telah memberi komitmen sepanjang 2 hari pelaksanaan program dengan memberi penglibatan yang aktif dalam setiap aktiviti. Aktiviti yang melibatkan permainan teater atau theatre games merupakan salah satu pendekatan yang digunakan untuk meningkatkan kompetensi dalam kalangan pelajar yang bakal berhadapan dengan alam kerjaya sebagai seorang pendidik.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my