MENYEDARI pentingnya mengenal identiti dan menghormati warisan budaya seluruh masyarakat majmuk Keluarga Malaysia, Persatuan Seni Visual UPSI (PERSENI) menganjurkan program ‘Dirgahayu Bumi Bayu Kenyalang – The Diversity of Borneo’ bermula 15 Mei sehingga 15 Jun 2022.
Program yang berlangsung selama sebulan itu mengangkat tema kebudayaan dari dua buah negeri Malaysia timur iaitu Sabah dan Sarawak, padat dengan pelbagai aktiviti berkaitan seni dan warisan.
Menurut Penasihat PERSENI, Dr Elis Syuhaila Mokhtar berkata terdapat empat pertandingan seni yang dianjurkan sepanjang tempoh tersebut iaitu Pertandingan Melukis bertemakan Borneo Cultural Art , Pertandingan Mewarna Borneo Color Rush, Pertandingan rekaan corak pelitup muka The Face of Borneo dan Pertandingan ‘Selfie Kita-Kita Jak!’ serta webinar berkaitan seni kebudayaan kedua-dua buah negeri tersebut.
“Program ini dianjurkan adalah untuk meraikan perbezaan etnik dan budaya antara mahasiswa serta memberi peluang kepada mereka untuk memahami tentang seni warisan khususnya masyarakat negeri bawah bayu dan negeri bumi kenyalang yang menjadi nadi kepada masyarakat berbilang bangsa tanahair,” jelasnya semasa majlis penutup program tersebut 15 Jun lalu di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI, Tanjung Malim.
Menurut Pengarah Program, Beatrice Ana Anak Stewart berkata penganjuran yang julung-julung kali diadakan ini turut menarik penyertaan masyarakat setempat melalui bengkel lukisan tentang kebudayaan kedua buah negeri serta mendapat kerjasama syarikat-syarikat korporat tempatan RunCloud Sdn. Bhd. , Arts Cool Studio serta Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA) dan Majlis Anak Johor (M@JOR) UPSI.
“Selain mahasiswa UPSI, penganjuran pertandingan-pertandingan ini turut menarik penyertaan seramai 154 orang pelajar sekolah menengah dan rendah dari lebih 50 buah sekolah di Semenanjung manakala 30 buah sekolah sekitar Sabah dan Sarawak.
“Menariknya lagi, ketika majlis penutupan program, urusetia turut mengadakan majlis jamuan juadah makanan tradisional secara potluck yang dimasak bersama-sama pensyarah dan pelajar serta dihidangkan kepada lebih seratus pelajar serta pensyarah yang turut serta pada majlis tersebut,” jelasnya lanjut. Antara menu yang menjadi tumpuan ialah laksa Sarawak, Manuk Pansuh, kerabu rumpai dan agar-agar laut Tawau.
Salah seorang peserta program, Farahainin Harun, 24, berasa bangga apabila berpeluang memperagakan busana tradisonal baju Sinuangga masyarakat Kadazan Dusun di hadapan para pengunjung semasa majlis penutup.
“Saya berasa gembira apabila terdapat rakan-rakan mahasiswa yang mengagumi keunikan motif dan perhiasan tinggot pada pakaian yang saya peragakan. Menerusi peragaan ini juga, kami berpeluang berkongsi pengetahuan tentang pakaian tradisi etnik masing-masing dengan rakan-rakan kami yang berlainan suku kaum dan bangsa,” jelasnya.
“Dengan penganjuran ini sedikit sebanyak dapat mengubat rindu kami pada kampung halaman yang tidak dapat pulang semasa Perayaan Gawai dan Keamatan sekitar penghujung bulan Mei yang lalu”, tambahnya lagi.
Majlis penutup program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Dr Norakmal Abdullah berkata, “Program seperti dapat mengeratkan lagi semangat perpaduan dan kekitaan serta mewujudkan perasaan kasih sayang dan muhibah di kalangan masyarakat di negara kita. Ia turut memberikan mesej yang jelas betapa pentingnya kita saling memahami, menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya di negara kita agar keharmonian disentiasa terpelihara.” jelasnya.
Pengarang: Belum lagi berpeluang meneroka keindahan negeri di Sabah dan Sarawak. Khabarnya lanskap di sana taraf dunia, betul ke?