Oleh: Musa Jaafar (Pusat Ulul Albab)
Yala, 5 Oktober 2022, Pusat Ulul Albab UPSI mengorak selangkah kehadapan bekerjasama dengan Fakulti Pendidikan Universiti Fatoni, Patani mengadakan khidmat perundingan dalam meningkatkan teknik pembelajaran di sekolah-sekolah sekitar Yala, Thailand.
Program Perundingan menerusi Sangkutan Peringkat ke -3 Ulul Albab telah berlangsung selama 5 hari bermula 2 hingga 6 Oktober 2022 melibatkan 3 buah sekolah sekitar Yala, Thailand. Menurut Ketua Yayasan Sekolah Alawiyah Witya, Muhammad Abu Bakar, mereka menggunakan dua kurikulum dalam pengajaran di sekolah iaitu kurikulum Islam dan kurikulum kebangsaan Thailand.
Profesor. Dr. Abd Halim Ali, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI menyarankan supaya penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan murid ditingkatkan demi masa depan Bahasa Melayu itu sendiri sebagai pengkayaan jatidiri bangsa anak Melayu di Selatan Thai. Beliau juga menyentuh penganjuran program berbentuk kem, bengkel kursus bahasa dan pedagogi amat penting untuk guru-guru. Begitu juga kem kejurulatihan untuk ibubapa bagi mengubah pemikiran masyarakat Melayu supaya berubah kepada trend pemikiran moden.
Beliau juga mencadangkan sekolah ini dijadikan sekolah angkat kepada PUA. Di Sekolah Islam Bachok, pertemuan dengan mudir iaitu Muhammad Hussin menjelaskan kurikulum yang diajar adalah berteraskan keagamaan dan akademik secara serentak. Menurut Muhammad, kolaborasi perundingan diperlukan oleh pihak sekolah terutama keperluan pelajar dalam menjalani latihan mengajar secara berterusan dalam bidang Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab termasuk keperluan untuk meningkatkan kemahiran dan motivasi guru-guru melalui penerapan elemen Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik (QEI). Sekolah terakhir yang disantuni adalah Sekolah Pattana Wittaya yang dikenali juga Maahad Wahdatul Ulum.
Menurut pengarah Rosdee Ibrahim antara lainnya meluahkan masalah pelajar-pelajar yang lemah dalam menguasai Bahasa Melayu. Pelajar kurang berminat terhadap bahasa Melayu dan kurangnya kesedaran mengetahui kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa.
Beliau juga berhasrat agar guru-guru mendapat pendedahan dan memahami konsep Ulul Albab dan berharap sekolah dapat mengangkat konsep Ulul Albab di peringkat sekolah. Dalam pertemuan bersama 3 buah sekolah dapat disimpulkan proses pengajaran dan pembelajaran harus diuruskan dengan cara yang lebih sistematik terutamanya dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran.