oleh: Dr Yuhanis Mhd Bakri (Penyelaras, Unit Inovasi Pengajaran dan Pembelajaran, Pusat Pembangunan Akademik, UPSI)
Universiti Pendidikan Sultan Idris merupakan universiti dengan latar belakang pendidikan yang telah menjangkau 100 tahun. Bagi menyokong Lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), Transformasi Penyampaian pendidikan tinggi serta membolehkan UPSI diletakkan sebagai Universiti No 1 Pendidikan dan mendokong hasrat pengurusan supaya UPSI menjadi peneraju idea baru pendidikan, kakitangan akademik perlu disokong dengan latihan berkaitan pengajaran dan pembelajaran yang baik.
Pengenalan TLAS
Program TLAS atau Teaching Learning Assessment dan Supervison merupakan satu program flagship UPSI yang merupakan latihan berstruktur bagi memperkasa kaedah penyampaian pembelajaran dan pengajaran (PdP), kurikulum, pentaksiran dan penyeliaan serta latihan mengajar di UPSI. Seawal memasuki dunia akademik, semua pensyarah UPSI perlu mengikuti kursus pensyarah baharu yang merupakan syarat wajib pengesahan jawatan.
Walaubagaimanapun, semasa dalam tempoh perkhidmatan terdapat keperluan untuk meningkatkan kompetensi pensyarah terutama dalam bidang PdP. Oleh itu, polisi TLAS telah dibangunkan di UPSI. TLAS telah dimulakan bermula pada tahun 2017 dan polisi TLAS telah diterbitkan pada tahun 2022 (e-ISBN 978-967-2799-56-6).
Kerjasama tiga pusat tanggungjawab di UPSI iaitu Pusat Pembangunan Akademik, Unit Latihan di Bahagian Sumber Manusia serta Pusat Latihan Mengajar dan Industri membolehkan latihan berterusan ini berlangsung.
Kursus TLAS bermula dengan kursus secara bersemuka berpusat yang kemudiannya di anjurkan oleh fakulti masing-masing. Oleh sebab Pandemik Covid-19, TLAS juga telah di struktur secara MOOC (Massive Open Online Course) UPSI yang mana pensyarah dapat mengikuti latihan secara atas talian. Struktur umum TLAS. Struktur latihan TLAS terdiri daripada empat komponen iaitu Educational Technologies, Pedagogy and Instructional Techniques, Assessment dan Supervision.
Daripada setiap komponen tersebut, pensyarah harus mengikuti keseluruhannya dan kehadiran kakitangan akademik adalah dipantau.
Sesi perkongsian TLAS.
Selain itu kakitangan akademik UPSI juga harus mengikuti sesi perkongsian pakar TLAS yang dianjurkan oleh PPA dalam melengkapkan keseluruhan komponen TLAS. Sesi perkongsian ini membolehkan pensyarah mengetahui pedagogi, pentaksiran serta teknologi pendidikan terkini untuk diaplikasikan dalam PdP samaada di UPSI atau dalam memperkasa kaedah pengajaran guru pelatih daripada UPSI semasa mereka di sekolah.
Selain itu, sesi perkongsian ini membolehkan kaikitangan akademia berkongsi kepakaran serta meningkatkan agenda pengantarabangsaan universiti. Selain daripada Profesor dan pakar pendidikan ternama, UPSI melalui sesi ini turut telah menjemput penerima Anugerah Akademik Negara dan Anugerah Khas YB Menteri Pengajian Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI).
Selepas TLAS.
Bagi fasa TLAS yang berikutnya, kakitangan akademik perlu menerapkan dan melaksanakan ilmu yang diperoleh daripada sesi latihan ke dalam Pengajaran dan Pembelajaran masing-masing. Kakitangan akademik yang kompeten serta dilengkapkan dengan kaedah pengajaran terkini berupaya melahirkan graduan UPSI yang berkualiti tinggi, yang mampu bersaing sama ada di persada nasional ataupun antarabangsa.
Oleh itu, dengan latihan berstruktur TLAS ini diharapkan UPSI dan kakitangan akademiknya dapat kekal menjadi rujukan dalam bidang pendidikan. Malah kakitangan akademik dapat menyumbang kecemerlangan akademia UPSI dalam bentuk inovasi terutama dalam aspek pengajaran dan pembelajaran.