oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
foto: Fisol Ahmad
Muallim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Institut Peradaban Melayu (IPM) telah menganjurkan Persidangan Rumpun Melayu Sedunia (RUMIA) yang mengumpulkan pakar-pakar rujuk peradaban bangsa Melayu berkongsi pendapat melalui forum ilmiah serta pameran berkaitan kebudayaan, kesenian Melayu menerusi Karnival Kearifan Lokal hari ini sehingga 29 November (esok).
Menurut Pro Canselor UPSI, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata bangsa Melayu telah melakar sejarah yang panjang dalam perjalanan ketamadunan bangsanya yang tidak boleh disangkal lagi.
“Melalui sejarah yang sudah tercatat dalam manuskrip-manuskrip dalam arkib perpustakaan negara mahupun luar negara membuktikan bahawa bangsa Melayu bukan sahaja hebat dalam bidang diplomatik sehingga mampu membentuk sebuah kerajaan kuat dan disegani suatu ketika dahulu,
“Namun, bangsa Melayu juga terkenal dalam bidang persenjataan, perubatan, perdagangan, kesenian dan sebagainya yang didalamnya penuh dengan falsafah yang tersendiri,” jelas Alimuddin semasa ucapan perasmian persidangan dengan lebih 500 pengunjung.
Menurutnya lagi, falsafah-falsafah ini juga melambangkan pemikiran rumpun Melayu yang unik dan pelbagai kerana bangsa Melayu bukan sahaja mendiami negara kita, Malaysia tetapi juga di Indonesia, Brunei, Singapura, sebahagian Thailand dan Filipina serta beberapa buah negara di Asia Tenggara seperti Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar.
Turut hadir, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff membuka sesi ulung persidangan dengan mengajak para pengunjung untuk mengenang kembali perjuangan institut pendidikan terulung tersebut yang menginjak usianya 100 tahun iaitu ditubuhkan sebagai Sultan Idris Training College (SITC) pada tanggal 29 November 1922, menjadi institusi penting yang diilhamkan oleh Raja-raja Melayu ketika itu iaitu Sultan Negeri Perak, Sultan Negeri Pahang, Sultan Negeri Selangor dan juga dan juga Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan untuk melahirkan barisan pendidik yang mengemudi pemikiran bangsa Melayu suatu ketika dahulu,
“Bumi Muallim dipilih kerana lokasinya yang terletak hampir dengan keempat-empat buah negeri ini (Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan), lengkap dengan kemudahan pengangkutan keretapi bagi memudahkan anak-anak dari seluruh nusantara untuk datang melanjutkan pengajian,
“Terkenal sebagai bumi pahlawan kemerdekaan, melahirkan ramai nasionalis dan pendidik anak bangsa seluruh pelosok negara baik di rumpun Brunei dan Singapura dengan nama-nama seperti Zainal Abidin Ahmad atau Zaaba sebagai cendekiawan, Tun Ghafar Baba dan Ibrahim Yaacob merencana pembebasan negara daripada cengkaman penjajah menerusi gerakan Kesatuan Melayu Muda,” jelasnya.
Persidangan RUMIA dan Karnival Kearifan Lokal turut menampilkan ucaptama ‘Bahasa Melayu Bahasa Dunia’ oleh Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Profesor Datuk Dr. Awang Sariyan, Pengajian Peradaban Melayu di Jerman, oleh Profesor Dr. Arndt Graf, Universiti Goethe Frankfurt, Pemerkasaan Bidang Peradaban Melayu Di Indonesia oleh Profesor Madya Dr. Haji Abdul Malik dan Strategi Pemerkasaan Peradaban Melyu di Persada Dunia oleh Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) (Malaysia).
Persidangan RUMIA turut menampilkan persembahan kebudayaan seperti Seni Silat Muzik Asli, Dikir Barat, Muzik Gamelan, Rebana Perak, Persembahan Tradisional Bengkalis Indonesia, masyarakat Melayu Siam, serta forum dan pameran busana Rumpun Melayu, Kadazan Dusun, pameran kain tenun dan makanana tradisional Bengkalis Indonesia, pameran Etnologi Dunia Melayu dari Jabatan Muzium Malaysia, pameran Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Muzium Etnografi Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Muzium Layang-layang Pasir Gudang, Johor serta demostrasi masakan tradisional dodol dan kraftangan Melayu seperti tekatan, ukiran kayu, seramik, tikar mengkuang dan tengkolok selain permainan tradisional Melayu seperti bat seremban, dam aji, sepak raga dan pelbagai lagi.
Turut diterbitkan: Suara Merdeka