Oleh : Mohammad Faiez Iqmal Semi (Persatuan Pengajian Malaysia UPSI)


Jeli merupakan sebuah jajahan baru di negeri Kelantan dan ditubuhkan sejak 41 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1982. Pada awalnya Jeli dikenali sebagai Jajahan Kecil Jeli yang mempunyai pentadbiran yang tersendiri dan pernah mendapat jolokan ‘Bandar Koboi Latin’ dan ‘tempat jin bertendang’.

Namun, pada Januari 1986, jajahan ini telah dinaik taraf dan diisytiharkan sebagai sebuah jajahan penuh. Kehadiran pemimpin yang berjiwa rakyat iaitu Yang Berhormat (YB) Dato’ Sri Mustapa Mohamed atau lebih dikenali dengan panggilan mesra ‘Tok Pa’ telah berjaya membawa perubahan besar ke kawasan Parlimen Jeli setelah dipilih sebagai wakil rakyat buat pertama kali apabila berjaya memenangi kerusi Parlimen Jeli dalam Pilihan Raya Umum Malaysia Ke9 (PRU9) pada tahun 1995.

Berikutan kejayaan tersebut, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan pada bulan Mei 1995 sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan Kedua pada bulan September 1998. Namun, dalam PRU15 pada tahun 2022 baru-baru ini, beliau telah menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jeli yang telah disandangnya selama 5 penggal setelah mengambil kira nasihat doktor mengenai tahap kesihatannya.

Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapa Mohamed, mantan Ahli Parlimen Jeli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas.

Selain itu, Tok Pa juga merupakan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas setelah pertama kali memenangi kerusi DUN tersebut dalam PRU11 iaitu pada tahun 2004 dan seterusnya dalam PRU13 dan PRU14 setelah berjaya menewaskan pencabar terdekatnya, YB Dato’ Abdullah Ya’kub yang juga merupakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan kini.

Tok Pa mendapat gelaran sebagai ‘arkitek perubahan Jeli’ kerana berjaya melakukan transformasi ke atas bandar Jeli yang pada asalnya merupakan sebuah petempatan kecil di daerah terpencil di negeri Kelantan.

Empat teras pembangunan Tok Pa di Jeli

Sepanjang berkhidmat sebagai seorang Ahli Parlimen, beliau membawa pembangunan berpandukan empat teras iaitu meningkatkan syiar Islam, pembangunan pendidikan, penyediaan kemudahan awam dan menjamin kebajikan rakyat. Beliau juga merupakan seorang yang mudah untuk disenangi dalam segenap lapisan masyarakat kerana sikapnya yang suka merendah diri, rajin untuk beribadat dan sentiasa menziarahi masyarakat kampung dan “tidak bermusim” menjadikan beliau sebagai seorang yang mudah didekati dan disenangi oleh rakyat.

Mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin juga pernah menyifatkan beliau sebagai “budak baik” dan mempunyai pegangan agama yang kuat. Beliau merupakan seorang ahli politik yang tidak suka untuk berkata atau menggelarkan sesuatu yang buruk kepada pihak lawan.

Bagi penulis, pembangunan mapan yang telah dibawa oleh Tok Pa di Jeli boleh dilihat secara jelas dalam sektor pendidikan. Beliau merupakan seorang yang amat menitikberatkan elemen pendidikan kepada rakyatnya tidak kira sama ada pendidikan sekolah rendah, menengah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) atau institusi keagamaan.

Usaha-usaha yang telah dilakukan ternyata membuahkan hasil dan impak yang positif terhadap sektor pendidikan di Jeli apabila ramai anak muda tempatan berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Elemen pendidikan ini juga bukan sahaja tertumpu kepada golongan muda namun golongan dewasa dan golongan yang berumur turut diberikan ruang dan peluang untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik. Beliau juga digelar sebagai “Tokoh Pembangunan Pendidikan” kerana fokus dan usaha kuatnya dalam membangunkan Jeli melalui bidang pendidikan.

Pusat Dakwah Jeli atau lebih dikenali sebagai Pondok Moden Jeli merupakan sebuah institusi pendidikan yang berasaskan institusi sekolah pondok yang banyak terdapat di negeri Kelantan. Pusat dakwah ini terletak di sebuah kampung lama di Kampung Jenub, Bukit Bunga berhampiran sempadan negara Malaysia-Thailand. Pusat dakwah ini telah diasaskan oleh Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed sewaktu beliau masih merupakan Ahli Parlimen Jeli dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada ketika itu.

Penubuhan pusat dakwah ini adalah selari dengan janji beliau sewaktu kempen PRU pada tahun 2004 di mana beliau berjanji untuk membina sebuah Pusat Dakwah Jeli (PDJ) di Bukit Bunga untuk memastikan program dakwah dibuat dengan bersistematik. Pondok Moden Jeli telah dibina pada tahun 2008 dengan kos pembinaannya dianggarkan sebanyak RM500,000 dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti asrama lelaki dan perempuan, dewan makan, dewan serbaguna dan surau.

Institusi ini dijadikan sebagai pusat tahfiz untuk golongan muda dan pusat mendalami ilmu agama bagi golongan berumur. Kelas Al-Quran, pengajian Tafsir, Tahsin dan Tajwid diadakan pada setiap hari Jumaat dan Sabtu dengan kerjasama Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Pusat dakwah ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Abdullah Md Zin, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1 Februari 2008.

Pusat dakwah ini juga dijadikan sebagai tempat untuk pelajar-pelajar sekolah mengadakan pelbagai program seperti kem motivasi, kem kepimpinan, perkhemahan dan sebagainya. Pusat dakwah ini juga telah dijadikan sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk membantu penduduk terutama di DUN Bukit Bunga untuk mendapatkan suntikan vaksin memandangkan jarak
perjalanan antara kawasan Bukit Bunga dan PPV utama yang terletak di bandar Jeli adalah sejauh 18KM.

Pusat Tuisyen Darul Falah merupakan pusat tuisyen percuma yang diusahakan oleh Tok Pa pada tahun 1995 dan mula berpusat di kediaman rasmi beliau yang dikenali sebagai Darul Falah pada tahun 1998.

Pusat tuisyen ini ditubuhkan bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar sekolah rendah di kawasan Parlimen Jeli untuk menghadiri kelas tambahan secara percuma pada setiap hari Jumaat dan Sabtu memandangkan pencapaian pelajar terutama subjek Bahasa Inggeris dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang kurang memuaskan. Pelaksanaan kelas tambahan ini dibantu dengan kerjasama pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli dan Tanah Merah, Kelab Darul Falah UMK Kampus Jeli dan East Coast Economic Region Development Council (ECERDC) melalui Latihan Akademik di bawah program Empower. Penubuhan pusat tuisyen ini terbukti berjaya apabila keputusan UPSR di Parlimen Jeli terutama dalam subjek Bahasa Inggeris meningkat saban tahun.

Kelas Tuisyen Darul Falah percuma untuk rakyat Jeli

Bagi memberikan peluang lebih ramai pelajar untuk mengikuti kelas tambahan secara percuma ini, maka kelas Tuisyen Darul Falah ini telah membuka tiga cawangannya iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, SK Bukit Jering dan SK Jeli 2 pada tahun 2010.

Dalam sektor institusi pendidikan sekolah menengah pula, Dato’Sri Mustapa bin Mohamed berjaya menjadikan daerah Jeli setanding dengan kawasan-kawasan di bandar yang lain. Malahan, di kawasan bandar lain juga tidak mempunyai keistimewaan ini di mana wujudnya sekolah menengah yang dikategorikan sebagai sekolah berprestasi tinggi. Idea penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Jeli yang terletak di sebuah kawasan yang strategik iaitu bersebelahan Lebuh Raya Timur-Barat bertempat di Kampung Gemang telah dicetuskan oleh beliau semasa menjawat jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan.

Peletakan batu asas MRSM Jeli telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 September 1999. MRSM Jeli telah mula beroperasi pada tahun 2001 dengan pengambilan pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 4. Seterusnya, penubuhan Sekolah Menengah Sains Jeli atau dikenali sebagai JeSS yang siap dibina pada akhir tahun 2012. SMS Jeli merupakan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang ke-4 di Kelantan dan ke-67 di Malaysia. Sekolah ini dibuka secara rasminya pada 1 Januari 2013 dan mempunyai 4 blok akademik, enam blok asrama, sebuah dewan serbaguna, dewan makan dan sebuah surau untuk kemudahan seharian pelajar. SMS Jeli pernah mencatatkan pencapaian sebagai sekolah terbaik negeri Kelantan dan sekolah terbaik Zon Timur kerana berjaya melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015.

Seterusnya, terdapat banyak penubuhan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Parlimen Jeli antaranya ialah Universiti Malaysia Kelantan (UMK). UMK secara rasminya berada dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan merupakan IPTA yang ke-19 di Malaysia. UMK mempunyai tiga kampus yang terletak di Pengkalan Chepa, Bachok dan Jeli. UMK Kampus Jeli ditubuhkan pada tahun 2012 dengan kos pembinaannya dianggarkan sebanyak RM60 juta. Penubuhan UMK Kampus Jeli ini telah disokong penuh oleh Dato’ Sri Mustapa Mohamed yang juga merupakan Menteri MITI pada ketika itu. Beliau juga merupakan Menteri Mentor UMK.

Tujuan penubuhan UMK adalah untuk menyumbang ke arah meningkatkan kecemerlangan pendidikan kepada anak bangsa dan memberi sumbangan kepada masyarakat setempat serta bekerjsama dalam usaha untuk meningkatkan sosioekonomi dan budaya masyarakat selaras dengan objektif, visi dan misi UMK Kampus Jeli. Pada hari ini, UMK Jeli mempunyai tiga buah fakulti iaitu Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Fakulti Sains Bumi (FSB) dan Fakulti Bio-Kejuruteraan dan Teknologi (FBKT).

Institusi Pengajian Tinggi Awam kedua yang terdapat di Jeli ialah Politeknik Jeli, Kelantan (PJK). Pembinaan Politeknik Jeli telah siap dibina pada tahun 2013 dengan kos pembinaannya dianggarkan sebanyak RM124 juta. Diploma Agroteknologi & Diploma Akuakultur merupakan antara program yang ditawarkan di sini. Politeknik Jeli terletak di sebuah lokasi yang strategik iaitu terletak di antara bandar dan kawasan seperti Kota Bharu, Kuala Terengganu, Lojing, Cameron Highlands, Tasik Pergau, Tasik Banding dan Tasik Kenyir yang menjadi pemangkin kepada program-program yang ditawarkan. Seiring dengan perkembangan semasa, PJK memikul tanggungjawab untuk melahirkan modal insan yang lestari serta mempunyai mentaliti kelas pertama selaras dengan hala tuju transformasi Jabatan Pengajian Politeknik untuk melonjakkan politeknik sebagai institusi peneraju dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Kolej Komuniti Jeli merupakan Institusi Pengajian Tinggi Awam ke-3 yang terdapat di Jeli. Kolej ini terletak di lot kedai yang disewa di Bandar Baru Bukit Bunga dan mula beroperasi secara rasmi pada 1 Julai 2006 setelah dirasmikan oleh Dato’ Sri Mustapa Mohamed yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu. Pada awalnya, kolej ini menawarkan kursus seperti Sijil Bakeri dan Konfeksioneri. Namun, pada hari ini kursus-kursus tersebut sudah tidak ditawarkan lagi dan digantikan dengan penawaran Sijil Fesyen dan Pakaian serta Sijil Pastri selama 2 tahun pengajian.

Penulis bersama Dato’Sri Mustapa bin Mohamed sempena kunjungan beliau ke rumah untuk menyampaikan anugerah kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 2020.

Pada hari ini, pembinaan Kolej Komuniti Jeli yang baharu dan juga merupakan yang kedua terbesar di negeri Kelantan selepas Kolej Komuniti Kota Bharu sedang dilaksanakan dengan peruntukkan sebanyak RM30.5 juta dengan keluasan tanah seluas 3.2 hektar hasil usaha oleh Dato’ Sri Mustapa Mohamed yang pada ketika itu merupakan Menteri MITI. Pembinaan kolej komuniti yang baharu ini dilakukan untuk memberikan keselasaan kepada para pelajar apabila kolej komuniti yang sedia ada hanya beroperasi di premis kedai yang disewa selama16 tahun.

Secara keseluruhannya, terdapat banyak sumbangan yang telah dilakukan oleh Dato’Sri Mustapa bin Mohamed kepada penduduk di Jeli, Kelantan bermula di peringkat awal setelah beliau pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Jeli sehingga kini. Pada hari ini, Jeli telah berubah wajah dan merupakan salah sebuah bandar yang membangun dan berkembang maju daripada pelbagai aspek seperti pembangunan, pendidikan, kemudahan sosial dan ekonomi.

Kemajuan pembangunan dalam sektor pendidikan di Jeli ini bukan sahaja memberikan peluang pendidikan yang lebih baik namun turut melonjakkan ekonomi di Jeli di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Beliau juga berjaya membuka mata masyarakat tempatan terutama anak muda dengan menunjukkan kepimpinan dan contoh teladan yang baik sebagai seorang pemimpin serta merupakan antara tokoh yang wajar dicontohi oleh anak-anak muda di Jeli, Kelantan.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)