oleh: Nurfazila Nira Mohamad Aniff & Rabiatul Adawiyah Rasidi (Persatuan Mahasiswa Sejarah UPSI)

Derma darah merupakan amalan terpuji melibatkan bantuan daripada seseorang yang sukarela menyumbang darahnya untuk digunakan sebagai ubat biofarmaseutikal kemudian disalurkan kepada pesakit yang memerlukan bagi meneruskan kehidupan. Satu beg darah mampu menyelamatkan nyawa antara satu sehingga tiga nyawa sekali gus. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyasarkan sekurang-kurangnya 5 peratus rakyat Malaysia sebagai penderma darah.

Darah yang disumbangkan mestilah darah yang mencukupi, selamat dan berkualiti. Antara pesakit yang memerlukan bantuan darah ialah pendarahan serius disebabkan oleh kemalangan, pembedahan major, komplikasi semasa bersalin atau transplan organ. Selain itu, darah yang disumbangkan oleh para penderma ini juga akan digunakan untuk membantu peserta yang mengalami demam denggi berdarah. Bukan itu saja para pesakit anemia seperti talasemia, leukaemia atau kanser juga antara penerima manfaat utama selain mangsa kebakaran, bayi peringkat neonatal yang mengalami kekuningan teruk serta pesakit haemofilia.

Amalan menderma darah dapat mengurangkan risiko sakit jantung bahkan turut membantu dalam menyeimbangi zat besi di dalam badan penderma. Hal ini kerana, penyakit jantung dikaitkan dengan kandungan zat besi di dalam darah dan zat besi yang berlebihan akan menjadikan darah pekat serta mengakibatkan kerosakan arteri dalam jangka panjang. Apabila menderma darah, secara tidak langsung zat besi keluar daripada tubuh sekaligus mengekalkan kecairan darah yang sesuai untuk kesihatan arteri.

Terdapat banyak manfaat lain terhadap para penderma darah antaranya dapat menurunkan kalori di dalam badan. Berdasarkan kajian yang dijalankan, menderma darah dapat membakar 650 kalori dalam badan seseorang dalam satu sesi, membantu penderma mengurangkan berat badan, kekal sihat dan ramping, serta mencegah obesiti. Selain itu, menderma darah juga dapat menggantikan sel-sel darah yang baru dan meningkatkan kecerdasan badan. Oleh itu, tubuh akan menjadi lebih bertenaga, dapat berfungsi dengan lebih baik dan badan berasa lebih segar.

Kelayakan seseorang untuk menderma darah akan ditentukan oleh pegawai perubatan atau jururawat yang bertugas. Seseorang yang bakal menderma hendaklah berada pada tahap kesihatan yang baik. Misalnya, pegawai hospital mengarahkan supaya para peserta hendaklah mencapai tahap rehat atau tidur yang cukup dan teratur. Para penderma diingatkan untuk rehat dan tidur yang cukup, iaitu mempunyai tidur melebihi 5 jam. Selain itu, para penderma juga diingatkan untuk mengambil sarapan yang berat sebelum melakukan proses menderma darah.

Para penderma perlu mengisi borang maklumat sebelum melakukan beberapa ujian mandatori saringan. Ujian ini merangkumi pemeriksaan jenis darah, timbang berat dan pemeriksaan tekanan darah.

Setelah para penderma berjaya melepasi ujian saringan, barulah mereka akan dibenarkan untuk meneruskan proses untuk menderma darah. Namun, bagi penderma yang tidak berjaya melepasi tahap yang ditetapkan oleh pegawai hospital, maka mereka tidak dapat untuk meneruskan proses menderma darah atas faktor-faktor tertentu.

Perkara ini telah dititikberatkan oleh pegawai kesihatan kerana bagi memastikan proses pendermaan darah tidak akan memudaratkan penderma dan darah yang disumbangkan juga tidak akan memudaratkan pesakit yang bakal menerima darah tersebut. Oleh itu, pihak tabung darah menjalankan prosedur yang ketat dalam pemilihan penderma bagi menjamin kualiti darah.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my