Oleh: Wellinah Eva Guramon (Setiausaha Sekretariat Rukun Negara UPSI)
Hari ini, boleh dikatakan hampir setiap hari kita akan mendengar kisah tentang ramainya anggota masyarakat menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian baik ‘Macau Scam’, ‘Parcel Scam’, ‘Love Scam’ atau apa saja terma yang dikenali sebagai ‘Phishing Scam’.
Mangsa yang terlibat datangnya dari pelbagai golongan masyarakat baik muda ataupun tua, lelaki mahupun wanita, pelbagai latar belakang pendidikan dan pendapatan. Mangsa penipuan scam ini juga tidak mengenal status warna kulit, siapa saja pasti akan terjerat.
Walaupun bukanlah perkara baru, tetapi tanyalah kepada sesiapa saja orang di sekeliling, pasti ada yang pernah menerima panggilan dari pemangsa sindiket jahat ini. Silap-silap kita sendiri pernah mengalaminya, bukan?
Justeru, melihatkan pentingnya keperluan mendidik para mahasiswa tentang isu yang semakin membarah di kalangan masyarakat, Sekretariat Rukun Negara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kelab Penyayang Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan program kesedaran “Phishing Scams: Don’t Click The Link” yang berlangsung pada 14 Januari 2023 secara dalam talian menerusi pelantar WEBEX.
Program Talk On “Phishing Scams: Don’t Click The Link” merupakan salah satu program yang membuka mata masyarakat untuk mengetahui lebih banyak informasi berkenaan isu jenayah siber terbaru dikenali Phishing (Scam Attack) yang telah menjadi isu hangat disebabkan ramai orang yang telah menjadi mangsa penipuan ini.
Objektif utama program ini ialah mewujudkan jalinan kerjasama dan hubungan yang erat di antara ahli kelab Penyayang Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Sekretariat Rukun Negara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Objektif kedua ialah melahirkan mahasiswa yang mempunyai sikap sentiasa berwaspada dalam menggunakan internet secara selamat.
Objektif ketiga ialah mengelakkan mahasiswa daripada menjadi mangsa jenayah siber. Jumlah keseluruhan peserta yang menyertai program ialah seramai 809 orang pelajar.
Matlamat utama program yang dianjurkan ini adalah untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa untuk sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga daripada menjadi mangsa penipuan siber.
Panel jemputan bagi program ini ialah Encik Rahmat Fitri Abdullah yang memegang jawatan sebagai Inspektor Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia. Beliau juga dilantik sebagai Assistant Superintenden Polis (ASP) Duta Anti Scam Polis Diraja Malaysia.
Secara umumnya, kegiatan penipuan siber ini merupakan satu penganiayaan terhadap mangsa dalam membabitkan jumlah wang yang banyak.
Dalam hal ini, Phishing merupakan satu istilah penipuan yang digunakan menerusi e-mel ataupun berbentuk pautan (link) yang dihantar untuk mencuri maklumat peribadi seseorang.
Antara maklumat peribadi yang dicuri termasuklah nombor kad kredit, nombor akaun atau nama-nama login dan kata laluan tanpa disedari mangsa.
Penipuan dalam talian sering menjadi isu hangat dalam masyarakat, namun masih ramai masyarakat yang menjadi mangsa dengan kerugian mencecah jutaan ringgit.
Encik Rahmat Fitri Abdullah berkata, banyak kes pelajar yang beliau dapati terjebak dalam kes penipuan dalam talian seperti penipuan rumah sewa, keldai akaun, ugutan, pembelian barang online dan sebagainya. Beliau berkata ugutan yang dikatakan oleh scammer seperti mereka akan datang ke rumah mangsa sekiranya tidak memberikan maklumat yang diminta dan menyebarkan gambar mangsa di media sosial merupakan kata-kata yang hanya tipu dan dusta.
Sekiranya, mangsa menjadi takut dan panik bermakna mereka telah termasuk dalam perangkap scammer dan seterunya mengikuti segala permintaan scammer.
Beliau juga berkata, ramai pelajar yang menjadi mangsa penipuan rumah sewa kerana leka dengan maklumat-maklumat penting yang sepatutnya mereka ketahui sebelum menyewa rumah.
Sebelum membuat sebarang pembayaran, pelajar seharusnya berjumpa dengan pemilik rumah, namun sekiranya pemilik rumah itu meminta deposit sebelum berjumpa dengan mereka maka itu adalah scammer.
Tujuan utama scammer melakukan penipuan dalam talian hanya untuk mencuri duit mangsa yang berada di dalam akaun bank.
Program yang dianjurkan telah memberi impak yang besar dan bermanfaat kepada semua mahasiswa mengenai penipuan dalam talian.
Antara impak program ini ialah memberi ilmu pengetahuan kepada mahasiswa mengenai isu scammer yang semakin meluas.
Scammer merupakan seseorang individu yang menyamar untuk mendapatkan wang atau sesuatu yang berharga daripada mangsa.
Dalam program ini, mahasiswa mengetahui banyak isu scammer yang dikongsikan oleh panel jemputan yang memiliki banyak pengalaman mengenai pengurusan isu scammer.
Pengetahuan baru yang diterima ini mendedahkan mahasiswa kepada kes- kes yang berlaku dan memberi kesan negatif kepada mangsa sehingga ada mangsa yang sanggup bunuh diri.
Selain itu, memastikan mahasiswa sentiasa berwaspada dengan tipu helah scammer yang tidak memandang umur, pangkat dan pekerjaan seseorang individu. Ramai mangsa yang berpendidikan tinggi, memegang jawatan utama dalam kerajaan, syarikat swastadan golongan profesional menjadi mangsa.
Malangnya semua itu bukan jaminan yang menentukan mereka tidak akan ditipu oleh scammer yang hanya bermodalkan telefon bimbit.
Oleh itu, mahasiswa perlulah sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai taktik yang digunakan scammer dalam penipuan dalam talian.
Di samping itu, penganjuran program ini juga telah memberi kesedaran kepada mahasiwa mengenai penipuan dalam talian benar belaku dalam dunia yang serba moden hari ini.
Golongan mahasiswa mudah terjebak dengan pembelian barangan online, pengaruh kenalan baharu menerusi game dan penyewaan rumah sewa.
Tahap kesedaran mahasiswa yang masih rendah dapat dibuktikan daripada aduan-aduan yang diterima oleh Encik Rahmat Fitri menerusi platform ‘Tiktok’ yang dibuat khusus untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan maklumat-maklumat mengenai scammer.
Oleh itu, program yang dianjurkan ini jelas memberi kesedaran kepada mahasiswa apabila mahasiswa memberi respon yang amat baik semasa program berlangsung bagi mengelakkan mereka
menjadi mangsa penipuan.