Oleh : Anathasia anak William (Persatuan Pengajian Malaysia)

Reformasi Parlimen: Dewan Rakyat

Parlimen Malaysia merupakan lambang struktur bagi sesebuah kerajaan dan mencerminkan aspirasi rakyat melalui perwakilan yang telah dipilih. Parlimen Malaysia merupakan badan penggubal undang-undang tertinggi negara yang terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu:

  1. Yang di-Pertuan Agong (YDPA)
  2. Dewan Negara
  3. Dewan Rakyat

Parlimen Malaysia telah mencatat sejarah pada 11 September 1959, di mana Dewan Negara dan Dewan Rakyat buat julung kalinya bersidang serentak di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Aturan urusan mesyuarat yang pertama adalah berkaitan dengan pemilihan Yang di-Pertua bagi kedua-dua dewan tersebut, diikuti oleh majlis angkat sumpah oleh kesemua ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang telah dilantik.

Apabila Parlimen dibubarkan, Parlimen Malaysia secara tidak langsung membentuk sebuah kerajaan yang baharu dengan membawa perubahan negara kita. Pendek kata, setiap pertukaran atau pembubaran parlimen ini berlaku, kerajaan yang memerintah negara pada ketika itu pasti akan membawa matlamat atau perubahan yang telah ditetapkan oleh mereka, seperti yang telah tertulis di dalam buku manifesto masing-masing.

Setelah Parlimen dibubarkan untuk memberikan peluang kepada Pilihan Raya Umum yang ke-14, Dewan Rakyat telah menjadi tumpuan ramai dan secara tidak langsung mencipta sejarahnya yang tersendiri. Pada sidang Pilihan Raya Umum ke-14, seramai 90 orang Anggota Parlimen (MP) baharu telah membuat penampilan julung kali mereka, dan seramai 11 orang anggota parlimen yang dahulunya pernah berkhidmat sebagai MP manakala  121 orang merupakan anggota Parlimen daripada penggal lepas yang berjaya dipilih semula pada 9 Mei 2018 (selepas keputusan PRU-14 diumumkan).

Pembentukan kerajaan juga dibuat berdasarkan parti politik yang telah mendapat undian majoriti mudah. Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan (PH) yang pada ketika itu diketuai oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad telah mengambil alih pentadbiran kerajaan yang dahulunya dikuasai oleh Barisan Nasional (BN) sejak 60 tahun lepas. Gabungan Pakatan Harapan (PH) dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Secara keseluruhannya, parti-parti yang menganggotai Pakatan Harapan (PH) ini telah berjaya memenangi majoriti mudah sebanyak 114 kerusi Parlimen di mana 48 kerusi dimenangai oleh PKR, 42 kerusi dimenangi oleh DAP, 13 kerusi dimenangi oleh PPBM dan 11 kerusi lagi telah dimenangi oleh parti Amanah. Berlatarbelakangkan Malaysia baharu, Mesyuarat Pertama Penggal Parlimen ke-14 melakar sejarah negara dengan memulakan persidangan pada 16 Julai 2018. Seperti yang kita sedia maklum, fungsi dan tanggungjawab Parlimen sangat besar dan amatlah penting, bukan sahaja sebagai simbol demokrasi, sebaliknya berfungsi sebagai forum tertinggi bagi mendengar keluhan suara rakyat.

Setelah  Pakatan  Harapan  mengambil  alih  pemerintahan,   bekas  Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof telah dicalonkan untuk menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat atau lebih dikenali sebagai Speaker Dewan Rakyat, mestilah bebas daripada mewakili mana-mana parti politik. Pengalaman beliau sebagai hakim memang tidak diragui dan beliau mendapat kepercayaan majoriti untuk dilantik ke jawatan tersebut. Pada sidang Parlimen kali ini, pihak kerajaan sangat menjaga kesucian dan keadilan Dewan Rakyat sekali gus menegakkan kuasa Dewan Rakyat.

Berdasarkan Perkara 44 dalam Perlembagaan Persekutuan, kuasa dan hak Dewan Rakyat buka sekadar menggubal undang-undang tetapi mereka juga turut meminda dan memansuhkan undang-undang yang sedia.

Reformasi Parlimen yang diterajui oleh beliau bukan sahaja berlandaskan kepada ruang lingkup buku harapan semata-mata. Beliau turut memacu sendiri program reformasi, jika kita menelusuri kad laporan prestasi beliau. Natijahnya, diharapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat menguruskan tadbir urus dengan berteraskan keadilan, ketulusan, dan kesucian dalam setiap amanah yang telah dipertanggungjawab.

Janji 16: Mengembalikan Wibawa Institusi Parlimen

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Parlimen boleh dikatakan sebagai sebuah “kubu” yang tertutup, yang hanya dikelilingi oleh golongan elit politik sahaja. Namum, semasa di bawah pimpinan Datuk Mohamad Ariff Md.Yusof, parlimen telah berubah wajah, iaitu menjadi “rumah rakyat” yang terbuka luas. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau percaya bahawa Parlimen merupakan institusi tertinggi bagi membincangkan isu rakyat dan sudah tentu rakyat mempunyai hak untuk mengakses laman web rasmi yang berkaitan dengan parlimen.

Parlimen merupakan institusi penting untuk menyemak imbang kuasa eksekutif. Oleh itu, Parlimen haruslah mempunyai infrastruktur yang sewajarnya dan dibiayai dengan peruntukan yang terjamin. Dalam pada itu, kerajaan telah memperkenalkan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, iaitu dengan membuat penambahbaikan dalam perkara-perkara tertentu agar akta tersebut sesuai dengan kitaran masa zaman moden.

Antara reformasi besar dan konkrit yang telah berjaya dilaksanakan oleh Parlimen di bawah pimpinan Datuk Mohamad Ariff Md.Yusof ialah menubuhkan sebanyak 10 jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi mengawal selia dan sebagai semak dan imbang terhadap pelaksanaan dasar yang dijalankan oleh pihak Kementerian (Eksekutif). Tidak dinafikan juga, kebanyakan pilhan jawatankuasa pilihan khas Parlimen sangat aktif mengadakan mesyuarat dan perbincangan.

Malah, mereka juga turut turun padang untuk mengadakan sesi town hall untuk menerbitkan laporan jawatankuasa supaya dapat dibentangkan di dalam sidang Dewan. Antara jawatankuasa yang terlibat adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menimbang Rang Undang-Undang, yang diketuai oleh Ramkarpal Singh, iaitu Ahli Parlimen Bukit Gelugor. Beliau dipertanggungjawabkan untuk mendapatkan maklum balas mengenai Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (‘IPCMC’) pada tahun 2019. Selain daripada itu, pembentukan suatu kumpulan yang disebut sebagai Kumpulan Rentas Parti Parlimen (APPG).

Penubuhan kumpulan berfungsi untuk menggarap penglibatan masyarakat awam termasuk organisasi masyarakat awam sivil (CSO) dalam proses pelaksanaan dan penggubalan dasar dan program kerajaan, terutamanya di peringkat mikro. Penubuhan-penubuhan kumpulan tidak rasmi ini digalakkan di dalam Parlimen bagi membolehkan ahli-ahli Parlimen bertukar pendapat antara satu sama lain. Semasa Kerajaan ditadbir oleh Pakatan Harapan, terdapat tiga Kumpulan Rentas Parti Parlimen (APPG) telah dibentuk bagi Matlamat Pembangunan Lestari (SPG), Pelarian dan Sains, dan Teknologi dan Inovasi (STI).

Satu lagi entiti adalah Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus yang diketuai oleh Ketua Pembangkang iaitu Yang Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson pada ketika itu dan juga Ahli Parlimen Kangar yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Noor Amin Ahmad.

Seterusnya, mewujudkan Suruhanjaya Parlimen Malaysia melalui Pengenalan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963. Walaupun tidak dapat dimaterialisasikan dengan sepenuhnya disebabkan oleh kekangan birokrasi, tetapi, Parlimen Malaysia berjaya menubuhkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Parlimen Malaysia yang kemudiannya dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk direalisasikan ke peringkat  yang seterusnya.

Agenda ini amat penting dan sangat relevan untuk memastikan Parlimen berfungsi sebagai badan legislatif yang bebas daripada campur tangan eksekutif dalam kerangka doktrin pengasingan kuasa. Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia. Kesemua jawatankuasa ini mestilah disahkan oleh jawatankuasa yang bersesuaian dengan peringkat Parlimen.

Hal ini akan mengurangkan campur tangan Perdana Menteri dalam urusan pelantikan. Bukan setakat itu sahaja, Badan-badan Kawal Selia Utama Negara seperti Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, SPRM, Suruhanjaya Sekuriti, dan Jabatan Audit Negara berhak dipanggil sebagai jawatankuasa Parlimen yang berkenaan. Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pula akan dikhaskan kepada Ahli parlimen daripada parti pembangkang.

Bagi memastikan rakyat dan semua pemegang taruh terlibat dalam proses penggubalan dan pelaksanaan dasar, pada kali ini, kerajaan Pakatan Harapan telah menghidupkan budaya penerbitan Kertas Hijau bagi merancakkan lagi penglibatan dalam kalangan rakyat, dan penerbitan Kertas Putih juga bagi mengumumkan dasar-dasar kerajaan, dan ini merupakan satu proses yang sangat besar sebelum akta tersebut diperkenalkan di dalam Parlimen. Pada setiap minggu, 30 minit akan diperuntukkan kepada Perdana Menteri bagi mengadakan Sesi Khas Soalan yang diajukan kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Selain itu, Dewan Negara pula akan terus diperkasakan untuk memastikan mereka memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang kepada Dewan Rakyat. Sehubungan dengan itu, jumlah pelantikan bilangan ahli Dewan Negara akan ditingkatkan berbanding mereka yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan. Perubahan ini amatlah penting supaya hak suara dan negeri sentiasa terjaga. Bahkan, dalam kedua- dua dewan, mereka turut diperuntukkan masa, khususnya untuk slot agenda pembangkang, soalan kepada Menteri bagi setiap Kementerian yang wajib dihadiri oleh Kementerian berkenaan atau timbalannya, dan pendebatan di peringkat jawatankuasa mengenai laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM),

Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), dan laporan tahunan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Petronas. Untuk memastikan Parlimen memainkan peranan mereka dengan sebaik-baiknya, persidangan Parlimen haruslah diadakan sebanyak 100 hari (bilangan minimum) setiap tahun. Sistem Jawatankuasa Terpilih yang diinstitusikan di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah lengkap dengan peruntukan dan staf sokongan membolehkan mereka berfungsi dengan berkesan.

Selain daripada jawatankuasa di atas, jawatakankuasa sementara juga ditubuhkan bagi menguruskan perkara-perkara yang perlu. Secara ringkasnya, untuk memastikan ketelusan sekaligus mengelakkan salah guna kuasa, Pakatan Harapan, setiap tahun akan menerbitkan senarai penuh keahlian Parlimen dalam lembaga pengarah syarikat milik kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau peringkat negeri, termasuklah syarikat swasta,  atau sebagai konsultan, beserta dengan jumlah elaun dan bayaran-bayaran lain yang diterima. – ePena

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)