Oleh: Aini Asmida Hamidon (PERSATUAN PENDIDIKAN ISLAM)
Cakna terhadap permasalahan sosial di kalangan belia wanita, Persatuan Pendidikan Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris telah melaksanakan program Bicara Santai Helwi: Hijrahku Kerana-Mu disampaikan oleh Farzana Ra’is yang merupakan pempengaruh dan juga pakar motivasi terkemuka. Program ini dilaksanakan di Masjid Al-Mursyidin, Kampus Sultan Azlan Shah pada 25 Disember 2022 hari ahad yang mana merupakan hari Krismas. Pada masa sama, program turut dilaksanakan atas talian secara langsung menerusi akaun Instagram helwippi.upsi.
Menurut Pengarah Program, program bual bicara santai dilaksanakan khusus buat mahasiswi sebagai salah satu usaha untuk mendidik golongan itu dalam mendalami ilmu agama Islam serta melahirkan mahasiswi bertaqwa dan bertanggungjawab dalam agama.
Perkongsian ini juga adalah amat penting buat mahasiswi UPSI kerana mereka bukan sahaja bakal menjadi pendidik sebaliknya sebagai suri teladan buat generasi akan datang. Bukan itu sahaja, perkongsian ini bukan hanya dikhususkan kepada mereka yang bakal digelar ustazah sahaja, namun hakikatnya ia juga adalah untuk semua wanita yang beragama Islam.
Menurut Farzana lagi, berdasarkan statistik Pengajian Tinggi pada tahun 2021, kemasukan pelajar perempuan ke universiti awam adalah seramai 216,440 orang manakala kemasukan pelajar lelaki pula adalah sebanyak 168,268 orang sekaligus menunjukkan bahawa jumlah kemasukan mahasiswi ke universiti adalah lebih ramai berbanding mahasiswa.
“Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Namun, dalam konteks penghijrahan diri ia bermaksud berubah untuk menjadi individu yang lebih baik daripada yang sebelumnya,” jelasnya.
Dalam program ini, panel Farzana Ra’is menyatakan ramai wanita yang ingin berubah ke arah yang lebih baik namun tidak tahu bagaimana kaedah yang terbaik untuk berhijrah. Beliau memberikan panduan serta galakan kepada mahasiswi-mahasiswi yang berusaha untuk mengubah diri mereka dan mereka yang berada dalam jalan hijrah.
Sebagaimana dalam al-Quran surah ar-Ra’d ayat 11, firman Allah swt yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”. Ini bermaksud Allah swt tidak akan mengubah seseorang itu melainkan mereka mengubah diri mereka sendiri. Maka, usaha dan kesungguhan dalam proses penghijrahan itu perlu ada kerana setiap daripadanya akan dilihat dan dinilai oleh Allah SWT.
Kesimpulannya, program perkongsian sebegini adalah amat penting kerana ia mampu mendidik dan membuka minda mahasiswi untuk menjadi wanita muslim yang terbaik demi kesejahteraan diri, masyarakat dan negara. – ePena