oleh: Profesor Madya Dr. Aslina Ahmad & Dr Pau Kee (FPM UPSI)
Tanjung Malim – Menggalas kepentingan sebagai pusat pengajian tinggi pendidikan serantau, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) menganjurkan Persidangan Antarabangsa UPSI-UPI bermula 14 hingga 16 Mac 2023 di UPSI.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff persidangan tersebut melibatkan seramai 279 delegasi daripada Indonesia, Malaysia, Thailand dan China berkongsi idea, penyelidikan serta amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) abad ini.
“Pendidikan masa akan datang merangkumi kualiti pendidikan, inklusif dan kesamarataan, pembelajaran sepanjang hayat, literasi digital, pemikiran kritis dalam penyelesaian masalah, kreativiti dan inovasi serta kemampanan pembangunan.
“Guru-guru yang dilahirkan pada hari ini perlu dipersiapkan dengan segala keperluan semasa yang berdaya tahan, mampu menembusi pelbagai cabaran dengan sentiasa meningkatkan pembelajaran kendiri, kecerdasan emosi, tanggungjawab, kreatif dalam PdP,” jelasnya ketika menyampaikan ucaptama di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, di sini hari ini.
Menurut Md Amin lagi, untuk menghasilkan pelajar yang holistik, UPSI telah mengambil inisiatif untuk menerapkan konsep 3A iaitu akademik, akhlak dan adab, resiliensi, membina karakter pelajar, meraikan kegagalan dan kejayaan serta amanah dalam diri setiap bakal guru.
“Peranan guru hari ini sangat penting kerana jika gagalnya guru membentuk seorang pelajar, maka musnahnya generasi seterusnya.”
“Kerjaya guru pada hari ini bukan semata-mata sebuah kerjaya yang terjamin, sebaliknya sebuah amanah yang memerlukan komitmen tinggi kepada masyarakat bagi pemupukan sahsiah untuk pendidikan masa hadapan,” jelasnya lanjut.
Turut hadir, Rektor UPI, Profesor Dr H. M. Solehuddin dalam ucapatamanya berkata transformasi pendidikan perlu mengambil kira perubahan peranan guru daripada bertindak sebagai penyampai ilmu, kepada seorang mentor, fasilitator, pembakar semangat dan pencetus imaginasi pelajar dalam proses Pdp.
Begitu juga peranan pelajar tidak seharusnya hanya menerima ilmu, tetapi menjadi pencipta ilmu, diberi kebebasan dan masa untuk memperoleh ilmu serta kepakaran dalam pembelajaran kendiri menggunakan teknologi.
Katanya lagi, guru dan pelajar memerlukan kemahiran fleksibiliti dalam menghadapi cabaran era teknologi agar memastikan proses PdP dijalankan secara berkesan.
Di samping itu, aspek pembentukan sahsiah pelajar memerlukan guru untuk membimbing pelajar untuk berasa, berfikir, bersosial dan bertindak agar kesemua deria dirangsang dan digunakan dalam proses PdP.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Pembangunan Manusia, Profesor Madya Dr Abdul Talib selaku pengerusi persidangan amat menghargai penyertaan yang menggalakkan dari pelbagai seting, terutamanya delegasi dari luar negara. Ia telah menyediakan platform kolaborasi dan kerjasama daripada pelbagai pihak selain perkongsian academia dan pelajar akan dapat membuahkan idea dan kesepakatan dalam membentuk diri bakal guru.