oleh: Dr. Maizatul Najwa Jajuli (FSM)

Isu kemerosotan pelajar memilih aliran sains dalam negara ini adalah tidak seiring dengan ledakan Revolusi Industri 4.0.

Justeru, Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI telah menganjurkan Program Junior Chemist Camp 2023 dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) untuk memupuk minat terhadap bidang Sains terutamanya Kimia di kalangan pelajar sekolah rendah .

Menurut Pengarah Program Dr. Maizatul Najwa Jajuli berkata, isu ini juga merupakan salah satu cabaran dalam matlamat Malaysia untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025.

“Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan dalam program ini dapat membuka minda para peserta bahawa mata pelajaran sains umumnya dan kimia khususnya tidak hanya dapat dipelajari di sekolah malah mereka dapat meneroka mata pelajaran ini di dalam kehidupan seharian dan di persekitaran luar,”

“Program ini secara tidak langsung dapat mendedahkan peserta dengan realiti sebenar sesuatu projek sains dan memberi peluang dan pengalaman kepada mereka untuk terlibat secara langsung dalam setiap eksperimen yang dikendalikan,” jelasnya.

Seramai 64 peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah yang berumur dari 7 tahun sehingga 12 tahun terlibat melakukan beberapa aktiviti berkaitan sains.

Aktiviti pertama, Experimenting with BRASSICA OLERACEA atau nama saintifik bagi kobis ungu, para peserta telah diperkenalkan dengan alat-alat radas seperti bikar, buret, tabung didih dan sebagainya. Aktiviti ini telah dibahagikan kepada dua iaitu pentitratan kobis ungu dan melukis.

Cuka yang bersifat asid dan sodium bikarbonat yang bersifat bes akan digunakan dalam pentitratan kobis ungu bagi menghasilkan larutan berwarna hijau, biru dan merah. Larutan berwarna tersebut akan digunakan untuk melukis lukisan seperti bunga. Konsep yang digunakan dalam aktiviti ini adalah asid dan bes. Secara tidak langsung, pelajar didedahkan dengan teknik pentitratan. Mereka juga dapat merasai pengalaman berada di dalam makmal kimia melakukan eksperimen ringkas.

Manakala, aktvitit slot 2 adalah aktiviti Monkey in action!. Bagi aktiviti ini pula, peserta didedahkan dengan konsep geseran. Peserta dibekalkan dengan gambar monyet yang telah ditampal dengan straw. Selepas itu, tali rafia perlu dimasukkan dalam straw dan peserta mengawal tali tersebut supaya monyet dapat bergerak ke atas.

Peserta akan bertanding untuk menentukan monyet siapakah yang akan bergerak paling pantas. Melalui pemerhatian, peserta menunjukkan sifat kompetitif yang positif. Suasana sangat meriah semasa pertandingan Monkey in Action! dijalankan.

Turut hadir, Ketua Jabatan Kimia, Dr. Mohamad Syahrizal Ahmad berkata program ini berjaya menimbulkan rasa minat anak-anak kecil terhadap sains dalam diri mereka.

“Menerusi sambutan menggalakkan, tidak mustahil pihak fakulti akan meneruskan aktiviti berkaitan sains kepada anak-anak untuk memupuk minat mereka dalam bidang ini pada masa akan datang,” jelasnya pada ucapan majlis penutup.

Mohamad Syahrizal turut menyampaikan sijil penyertaan kepada semua peserta. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)