oleh: Megat Azrin Ahmad, PhD dan Ahmad Wiraputra Selamat, PhD

Universiti Pendidikan Sultan Idris menjadi antara universiti awam yang pertama mengaplikasi teknologi yang menyokong Internet Benda (IoT)

Sebagai persediaan mengadaptasi lebih banyak teknologi dan peralatan pintar
dalam Revolusi Industri 4.0, UPSI telah mengambil langkah proaktif dengan menerajui penggunaan Protokol Internet Versi 6 (IPv6) dalam kalangan universiti awam (UA).

Naib Canselor Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata penggunaan teknologi ini adalah selaras dengan komitmen UPSI bagi meningkatkan keupayaan infrastruktur rangkaian dan komunikasi seperti digariskan dalam Pelan Pendigitalan UPSI 2021-2025.

Usaha ini membuka lebih ruang dan kemudahan kepada graduan UPSI yang majoritinya bakal guru untuk menerokai lebih banyak teknologi baharu seperti Internet Benda (IoT), data raya (Big Data) dan 5G dalam menjayakan agenda pendigitalan pendidikan.

Ketua Pegawai Maklumat UPSI Puan Norazizah Othman pula menegaskan IPv6 menawarkan lebih banyak kelebihan berbanding pendahulunya IPv4, termasuk penyediaan lebih banyak alamat Internet, peningkatan keselamatan, kemudahan pengurusan serta prestasi rangkaian yang lebih baik.

Selain itu, IPv6 dikatakan mampu meningkatkan Kualiti Perkhidmatan (QoS) terutama dalam penstriman video, bahan multimedia serta suara melalui IP (VoIP) yang memerlukan jalur lebar yang tinggi.

Ciri-ciri ini penting bukan sahaja dalam menangani pertambahan mendadak peralatan yang berhubung dengan Internet seperti gajet pintar dan IoT, tetapi juga dalam menghadapi ancaman siber yang meningkat selaras perkembangan teknologi IR4.0.

Merujuk sumber dari Pusat Informasi Rangkaian Asia Pasifik (APNIC), UPSI mendahului UA yang lain dalam aspek kemampuan mengaplikasi IPv6 di Malaysia, selain berada di tangga ke-18 keseluruhan mengambilkira sektor awam dan swasta termasuk pembekal perkhidmatan Internet (ISP).

Pegawai Pusat ICT, Mohd Zaimiruddin Mohamed dan Mohd Zulhanafi Hashim di Pusat Data UPSI

UPSI juga merupakan satu-satunya UA yang terlibat dalam program keselamatan Dashboard for Autonomous System Health (DASH) bagi membolehkan pemantauan berterusan ke atas trafik rangkaian dari anasir yang meragukan atau berniat jahat melalui pengumpulan data dari 60 sensor Honeypot meliputi 15 negara.

Hal ini membuktikan komitmen UPSI bukan sahaja dalam penyediaan Internet yang lebih luas dan pantas, tetapi juga aspek keselamatan siber yang menjadi tunjang kepada sebuah rangkaian yang stabil dan dipercayai. Dengan kepakaran yang ada terutama di Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi, UPSI bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi dan institusi dalam menyokong hasrat kerajaan melaksana transformasi perkhidmatan awam berpaksikan pendigitalan. – ePena

Penulis-penulis merupakan Pegawai Teknologi Maklumat Kanan Pusat ICT, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tg Malim, Perak

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)