oleh: Syasya Atiqah Abdul Mohamad & Siti Nurnabilah Abdul Wahab (PEMADAM UPSI)
Proton City 31 Mei 2023- Exco Penerbitan dan Informasi Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia, PEMADAM UPSI dengan kerjasama Pusat Kaunseling menganjurkan “Program Pencegahan Dadah Kampus dan Komuniti Siri II : Perspektif tentang Dadah daripada Ibubapa, Pendidik dan Pelajar” di Bilik Seminar, Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah.
Panel Jemputan merupakan pakar dalam bidang bimbingan Kaunseling iaitu Profesor Madya Dr. Halim Masnan, Dr. Mohd Muzafar Shah dan Saudari Nur Khairunnisa Ezani.
Menurut Pengarah Program, Saudari Nur Ayunie Khadijah Mohd Kamil, objektif program dilaksanakan adalah untuk meningkatkan pengetahuan mahasiswa dan mahasiswi tentang kesan dadah di dalam kalangan masyarakat.
“Malah, program ini bukan saja bertujuan untuk melahirkan individu yang bertanggungjawab dalam sesebuah komuniti masyarakat, malah berupaya menjadi medan bagi mendengar pendapat dari pelbagai lapisan masyarakat mengenai bahaya dadah,” jelasnya.
Menurut Dr Mohd Muzafar, tindakan yang boleh diambil oleh pendidik untuk mengenal pasti tanda-tanda penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar adalah dengan mendekati pelajar yang bermasalah dan mengambil tahu punca mengapa pelajar berkenaan bertindak sedemikian.
“Guru seharusnya mengambil langkah yang lebih efektif dan berusaha untuk mendekatkan diri dengan pelajar yang mempunyai masalah disiplin kerana guru boleh diibaratkan sebagai ibu bapa kedua bagi setiap pelajar,”
“Guru juga tidak seharusnya membiarkan pelajar tersebut terus melakukan kesalahan,”
“Masalah pelajar bermasalah hanya dapat diselesaikan apabila guru lebih prihatin dan peka dengan masalah pelajar,” tegasnya.
Menurut panel Nur Khairunnisa pula, diri sendiri juga memainkan peranan yang penting untuk peka dengan keadaan sekeliling terutamanya yang melibatkan rakan-rakan.
“Penyalahgunaan dadah dalam golongan muda pada zaman sekarang bermula dengan sifat ingin tahu dan perasaan ingin mencuba,”
“Malah, tak dinafikan pengaruh rakan sebaya menjadi punca utama penglibatan belia hari ini dengan penagihan dadah,” jelasnya lagi.
“Dalam kalangan kita sendiri juga sebenarnya ada yang terpalit dengan penyalahgunaan dadah tanpa kita sedar.
“Mengapa dan apa sebab nya mereka tertarik pada kegiatan yang tidak elok untuk golongan muda pada zaman sekarang padahal kita tau dadah bila disebutkan pun sudah menakutkan. Sebab utama mengapa golongan muda tertarik dengan dadah adalah disebabkan rasa ingin tahu. Golongan muda tertarik untuk mengetahui sesuatu dengan mencuba sendiri perkara tu. Selagi tak cuba selagi tu tak puas,” Ujarnya.
Menurut Nur Khairunnisa lagi, tidak dinafikan personaliti kita sedikit sebanyak dipengaruhi oleh rakan sebaya sebab peringkat remaja ini banyak meluangkan masa bersama rakan-rakan berbanding ibu bapa dan juga guru atau pensyarah.
Panel seterusnya, Profesor Madya Dr Halim Masnan pula menekankan kepentingan peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak.
Ini kerana ibu bapa merupakan individu pertama yang dekat dalam diri anak-anak mereka.
“Sekeras mana pun hati anak-anak tetapi melalui kasih sayang ibu bapa pasti dapat membawa anak-anak ke jalan yang betul,”
“Kalau mereka tersalah langkah, ibu bapa perlu support mereka kerana ini masa depan mereka. Anak-anak muda masih ada masa depan. Masukkan mereka ke dalam pusat pemulihan dan InsyaAllah bila keluar nanti, dia akan menyusur ke jalan yang betul. Jangan takut untuk mengambil langkah awal untuk memulihkan anak-anak tapi risaulah jika lambat bertindak,” jelasnya.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Pusat Kaunseling UPSI juga merangkap Penasihat Kelab PEMADAM UPSI, Puan Nurin Jaaffar berpendapat program seperti ini harus diteruskan pada masa masa akan datang bagi membendung penularan kegiatan yang merugikan bangsa dan tanahair itu. – ePena