Oleh: Siti Khairanie Mohd Roslan (Pelajar Latihan Industri BKK UPSI)
Tanjong Malim – Fakulti Seni, Komputeran & Industri Kreatif (FSKIK) dengan usahasama Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) melaksanakan pameran hasil karya mahasiswa tahun akhir Sarjana Muda Pendidikan Seni (AT23), bertempat di Atrium Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.
Program wajib setiap semester ini melibatkan 55 mahasiswa keseluruhan yang merupakan titik persediaan sebelum mereka menorak langkah lebih jauh. Pameran berikutnya akan dilangsungkan di GMBB, Kuala Lumpur pada 7-9 Julai 2023 iaitu pusat beli-belah komuniti kreatif yang menjadi hab mengumpulkan artis dalam menginspirasikan seni kepada umum.
Turut hadir, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff merasmikan sekali gus memberi sokongan penuh kepada mahasiswa dengan menyatakan insan seni merupakan insan terpilih, istimewa, dan kreatif yang mampu menterjemah sebuah penceritaan melalui sebuah lukisan mahupun produk.
“Berkarya bukanlah hanya demi memperoleh markah sepanjang pengajian di sini tetapi ia perlu dikembang, dilebar dan diluas di luar kepompong kebiasaan. Pameran ini membuktikan mahasiswa UPSI adalah mahasiswa luar biasa,” jelasnya.
Ujar Md Amin lagi, pameran ini mampu mengkomersialkan karya seni anak muda ke tahap yang lebih tinggi dan mampu bersaing seiring membantu golongan OKU dalam mendapat pendidikan yang setaraf melalui improvisasi pembelajaran mudah difahami setiap mereka. Idea kreativiti ini perlu diberi peluang kepada anak muda kerana mereka adalah penerus legasi akan datang.
Bertemakan ‘Orang Kurang Upaya’ (OKU), mahasiswa FSKIK UPSI menghasilkan karya seni yang kreatif menggambarkan maksud tersirat dalam setiap karya mereka. Muhammad NurAzizi Sharuji, mahasiswa di bawah Studio Grafik Komputer telah menghasilkan karya unik, AR Phonics Book bagi pesakit Disleksia. Karya ini menggabungkan dunia pendidikan dengan teknologi dalam mengevolusikan kaedah pembelajaran fonik kanak-kanak khususnya. Gabungan elemen visual (warna kontras), pendengaran dan kinestetik membolehkan kanak-kanak meneroka konsep fonik dengan pelbagai dimensi.
Berlainan dengan Diana Evanatasha Edwin, di bawah Studio Tenunan yang menjadikan ‘Busking’ sebagai karya teragungnya menggunakan teknik tenunan tapestry. Karya yang dihasilkan divisualisasi oleh benang pelbagai jenis, manik dan besi serta diilhamkan daripada Khairul Azmi (Caliph Busker) yang mempunyai bakat luar biasa menyanyi dan bermain alat muzik walaupun kurang upaya penglihatan. Maksud tersirat melalui karya tersebut dapat ditonjolkan hanya dengan penglihatan dan ia mampu sampai ke dalam jiwa. Karya itu juga telah dirisik oleh beberapa orang untuk membelinya dari Diana.
New Wave Art Exhibition Degree Show 2023 telah menunjukkan keberkesanannya dalam memberi peluang mahasiswa mencungkil bakat yang dimiliki dan memupuk idea kreatif, selari dengan wawasan Naib Canselor UPSI agar mahasiswa UPSI sentiasa menyumbang idea kreatif kepada masyarakat melalui pendidikan seterusnya menaikkan nama UPSI itu sendiri.
Muhammad NurAzizi Sharuji, Studio Grafik Komputer bersama karya AR Phonics.