Oleh : Prof Madya Dr. Suzani Mohamad Samuri
Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) dan World of Robotics (WOR) Sdn. Bhd. menganjurkan Program Bengkel Asas Robotik khusus untuk guru prasekolah dan tadika pada Sabtu lalu.
Program yang diadakan di Makmal Robotik FKMT itu disertai 80 guru prasekolah dan tadika dari Daerah Muallim dan daerah-daerah lain sekitar negeri Perak dan Selangor. Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Professor Dr Suriani Abu Bakar dalam ucapan perasmiannya menyatakan betapa pentingnya seorang guru untuk cakna dengan perkembangan teknologi semasa terutamanya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran. Beliau berharap kerjasama antara UPSI dan pihak berkepentingan dapat diteruskan pada masa hadapan dalam aktiviti penyelidikan dan penganjuran aktiviti yang seumpamanya demi pembangunan pendidikan.
Sementara itu, Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa berpendapat kerjasama antara pihak NCDRC, FKMT dan WOR Sdn. Bhd. yang berlainan kepakaran sangat di perlukan dalam penyelidikan berkaitan dengan perkembangan kanak-kanak.
“Kerjasama ini dapat memastikan setiap bahan pembelajaran yang dicadangkan dan dibangunkan dapat dinilai impak dan keberkesanannya terhadap kanak-kanak melalui proses penyelidikan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program, Dr. Mad Helmi Ab. Majid berkata objektif utama penganjuran bengkel tersebut adalah untuk memberi pendedahan tentang konsep robotik untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran di peringkat prasekolah dan tadika.
Katanya, bengkel ini juga menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat antara FKMT, NCDRC, World of Robotics Sdn. Bhd. dan pihak sekolah dalam menelusuri aktiviti penyelidikan dan pembangunan modul pendidikan berasaskan robotik.
Menerusi bengkel separuh hari itu, katanya, guru-guru prasekolah dan tadika telah didedahkan dengan modul pengajaran dan pembelajaran berasaskan robotik yang bertepatan dengan tahap pembelajaran dan pengajaran di peringkat prasekolah dan tadika.
Pengarah Projek Syarikat WOR Sdn. Bhd., Puan Michelle Choo berkata, tahap penggunaan robotik di sekolah di Malaysia terutamanya untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran masih rendah.
Beliau berkata, teknologi robotik yang disesuaikan dengan modul yang tepat mampu meningkat keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Justeru, pihak WOR komited untuk bekerjasama dengan UPSI dalam menjadikan robot sebagai sebahagian daripada modul pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Rata-rata guru prasekolah dan tadika yang menghadiri bengkel ini berasa teruja kerana tidak pernah menyertai mana-mana bengkel yang serupa dengan bengkel yang dianjurkan.