Oleh : Mohd Fahmi Mohd Yunus
Tanjong Malim – 2 Jun lalu telah berlangsungnya bengkel angklung dan bengkel seni tari sempena Silang Budaya Malaysia-Indonesia di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh kumpulan Destar Limar UPSI seterusnya ucapan oleh wakil ketiga-tiga universiti. Program dirasmikan oleh YBhg. Profesor Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI dengan ucapan dan sesi gimik perasmian bersama wakil Universitas Pendidikan Indonesia dan Institut Seni Budaya Indonesia Bandung. Bengkel angklung berlangsung pada sebelah pagi dikendalikan oleh seniman angklung iaitu Saudara Ardian Sumarwan S. Pd dan Dr. Ayo Sunaryo M. Pd daripada Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) manakala Bengkel Seni Tari yang memperkenalkan tarian Jaipongan bermula pada sebelah petang dikendalikan oleh Dr, Retno Drimarwati S. Sen M. Hum dan Prof. Arthur Supardan Nalan Sen. M. Hum daripada Institut Seni Budaya Indonesia Bandung (ISBI).
Seramai 216 peserta terlibat untuk kedua bengkel tersebut. Penyertaan terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Proton City, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Muda dan Sekolah Seni Malaysia Perak. Selain itu dua buah universiti turut menghantar penyertaan peserta bengkel iaitu pelajar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia serta orang awam dari pelbagai sektor.
“Bengkel angklung ini menggunakan kaedah pengajaran bermain angklung yang sesuai dengan pelbagai lapisan umur yang tiada asas muzik dan lebih interaktif berbanding kaedah notasi barat. Penggunaan “hand sign” dan blok warna pada skrin ternyata memudahkan proses pembelajaran. Manakala bengkel seni tari Jaipongan memaparkan seni budaya Indonesia yang unik. Kaedah pembelajarannya juga berbeza dan inilah “silang budaya” yang ingin diketengahkan untuk program ini. Saya amat berpuashati dengan kaedah yang digunakan oleh UPI dan ISBI. Mungkin kami boleh usahakan untuk menggunakan kaedah yang sama dalam mengajar muzik tradisional untuk masyarakat sekitar. Tarian jaipongan yang diajar sebentar tadi juga memberi pendedahan kepada para peserta dan diharapkan bengkel tersebut memberi manfaat dan pemahaman lebih jelas berkenaan gerak tari dan kaedah pembelajaran yang unik. Rata-rata peserta yang hadir turut memberi komen yang positif dan berharap agar ada bengkel lanjutan di masa akan datang” – Dr. Norzuraina Mohd. Nor, Pengarah Pusat Kebudayaan UPSI.
Bengkel berakhir sekitar jam 5.05 petang dengan sesi fotografi Bersama kesemua peserta dan tenaga pengajar yang terlibat.