Oleh: Ghazali Din

Tanjong Malim: Bahasa Melayu yang  mudah difahami  dan dipelajari mendorong dua wanita Uzbekistan  mendalami bahasa lingua-franca itu sehingga akhirnya mereka menjadi pensyarah di tanah air mereka .

Mereka yang kini sedang menjalani program Program Mobiliti Inbound Tenaga Pengajar  Bahasa Melayu Antarabangsa (Uzbekistan)  di Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Universiti Pendidikan Sultan Idris dari 3 hingga 24 Ogos itu didedahkan dengan pelbagai aktiviti bagi memantapkan lagi penguasaan terhadap aktiviti berbahasa Melayu.

Munisa Mukhtarova Mukhitdinovna (kiri) dan Mamatkulova Mahliyo Baxtiyor Qizi dalam sesi wacana ilmu yang dipengerusikan oleh Dr. Noor Zuhidayah

Puan Munisa Mukhtarova Mukhitdinovna dari Uzbekistan State World Languages University ( UzSWLU) dan Puan Mamatkulova Mahliyo Baxtiyor Qizi dari Tashkent State University of Oriental Studies (TSOUS) berkesempatan berkongsi pengalaman sempena Wacana Ilmu “Bahasa Melayu di Laluan Sutera”.

Dekan FBK, Prof. Madya Dr. Maizura@Mastura Muhammad berkata kehadiran kedua pensyarah berkenaan adalah sebahagian daripada misi FBK mengorak langkah ke peringkat aantarabangsa menerusi Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu (JBKM).

Beliau berkata bahasa  Melayu perlu diagungkan, dan diperkasakan malah terasa bangga apabila penuturnya dari negara luar dapat bertutu bahasa Melayu dengan baik.

Dalam majlis Wacana Ilmu yang dipengerusikan oleh Dr.  Noor Zuhidayah  Muhd Zulkifli,  Munisa Mukhtarova Mukhitdinovna berbangga dapat berada di UPSI khususnya dilayan dengan baik oleh warga FBK.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa ), Prof. Dr. Marzita Puteh bergambar sempena majlis makan malam meraikan Dr. Alisher Abidjanov, Munisa Mukhtarova Mukhitdinovna  dan Mamatkulova Mahliyo Baxtiyor Qizi di Scholar’s Suites, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah

Beliau mempelajari bahasa Melayu selama enam tahun dan sudah mengajar selama 10 tahun di Uzbeskitan  berasa teruja dapat mempelajari bahasa berkenaan.

“Di universiti kami, pelajar diberi motivasi dengan dipertontonkan video tentang Malaysia dan diwujudkan perpustakaan kecil yang mengandungi bahan-bahan pembacaan berkaitan bahasa Melayu.

Justeru ,akatanya, pelajar berasa mudah dan mempunyai banyak maklumat tentang bahasa Melayu, malah ramai lagi pelajar  Uzbekistan berhasrat datang ke UPSI.

Beliau yang pernah belajar bahasa Arab, Cina dan Rusia menganggap bahasa Melayu mudah dan boleh berfikir dalam bahasa Melayu dengan tata bahasanya yang  mudah.

“Strategi dalam pengajaran saya, kalau pelajar   lambat masuk kelas, mereka dikehendaki berpuisi atau menyanyi dalam bahasa Melayu,” katanya.  

Bagi Mamatkulova Mahliyo Baxtiyor Qizi yang mula mempelajari bahasa Melayu pada tahun 2015 , pengalaman menyertai Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu lima tahun lalu di Terengganu menjadi kenangan manis dan terkesan di hatinya.

“Saya bangga dapat mengajar bahasa Melayu di Uzbekistan, malahan  setiap tahun terdapat pengambilan pelajar.

Antara yang baiknya belajar bahasa Melayu, pelajar berpeluang memperolehi pekerjaan dengan mudah seperti menjadi sukarelawan, menjadi perterjemah kepada pelancong luar, bekerja di kedutaan serta tentera .  

“Di TSUOS sekarang, kami mempunyai  seramai 170 pelajar program bahasa Melayu kerana menyedari terdapat peluang yang luas jika boleh berbahasa Melayu dan diharap ia semakin berkembang seterusnya berjaya  membuka  Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan Melayu,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada UPSI yang menghantar pensyarah bahasa Melayu  setiap tahun bagi  menanamkan minat terhadap bahasa, adat, budaya Melayu, malah bahan bacaan semakin banyak atas sumbangan FBK.  

“Saya rasa bangga apabila Duta Malaysia juga datang ke unuversiti mengajar bahasa Melayu sekali gus mengeratkan hubungan Malaysia dan Uzbekistan,” katanya.

Pengarah Program, Dr. Ariff Mohamad berkata sepanjang berada di Tanjong Malim, mereka dibawa melawat dan  menikmati keindahan  kawasan sawah padi di Sabak Bernam , Putrajaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Munisa Mukhtarova Mukhitdinovna (kiri) dan Mamatkulova Mahliyo Baxtiyor Qizi gembira berkunjung ke Sabak Bernam

Selain itu, dua pensyarah berkenaan berkesempatan mengikuti sesi ceramah “Mudahnya Menulis Puisi” yang disampaikan oleh Dr. Ariff Mohamad serta menghadiri majlis Diskusi Khutbah Jumaat Muslimat di Masjid Ar-Rahman , Hulu Bernam.

Berkesempatan menghadiri Majlis Diskusi Khutbah Jumaat di Masjid Ar-Rahman , Hulu Bernam

Sepanjang berada di UPSI, mereka turut dilawati Timbalan Rektor (Hubungan Antarabangsa), UzSWLU, Dr. Alisher Abidjanov sebelum berlepas pulang dalam satu majlis makan malam.

Dr. Alisher berterima kasih kepada FBK yang memberi peluang kepada dua pensyarahnya menimba pengalaman yang menarik selama tiga minggu.

“Semasa berada di UPSI, saya berpeluang bertemu Naib Canselor serta menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (Moa) Antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Malaysia  dengan Oxford Centre for Islamic Studies (Oxcis), United Kingdom.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)