Oleh: Nurul Aida Mohamed Adam & Puan Nur Amirah Hana binti Azizi
JOHOR BHARU – Pada 4 hingga 6 September 2023, seramai 11 kakitangan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), Universiti Pendidikan Sultan Idris mengadakan Lawatan Penanda Aras (Benchmark) ke Pusat Kerjaya serta Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia, Johor.
Pengarah EDGE UPSI, Dr. Sharul Effendy Janudin berkata tujuan lawatan itu diadakan adalah untuk membina hubungan baik bersama Pusat Kerjaya dan Keusahawanan di universiti awam sekali gus dapat mempelajari dan menambahbaik sistem pengurusan EDGE.
“Kami mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Pusat Kerjaya Universiti Teknologi Malaysia (UTMCC) dan Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTMXCITE) atas pencapaian yang memberangsangkan dan berharap akan terjalin lebih banyak kerjasama pada masa akan datang terutama dengan Universiti awam,” katanya.
Pihak EDGE, katanya, sangat beruntung dapat membawa pulang banyak input yang berguna untuk meningkatkan kualiti kerja dari segi meningkatkan kebolehpasaran graduan dan keusahawanan.
“Diharapkan hasil dari lawatan ini akan lebih banyak kerjasama yang wujud antara EDGE dengan universiti awam dan swasta yang lain,” katanya lagi.
Katanya, delegasi EDGE UPSI disambut baik oleh pihak UTMCC dan dibawa melihat fasiliti yang terdapat di sekitar pejabat seperti studio gambar dan bilik bakat.
Menurut Dr. Sharul Effendy pihak EDGE sangat tertarik dengan sistem yang digunapakai oleh UTMCC iaitu aplikasi PowerBI dan mengambil inisiatif untuk menggunakan sistem yang sama untuk memudahkan penyimpanan data melalui sistem ‘dashboard’ yang lebih tersusun dan sistematik.
Sementara itu, Pengarah UTMCC, Profesor Madya ChM. Dr. Che Rozid Mamat berkongsi maklumat tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh UTMCC kepada pelajar, strategi yang dilaksanakan dalam menaikkan kadar kebolehpasaran graduan UTM, penghargaan yang diberikan kepada pelajar serta sistem pengurusan data Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang digunakan.
Ketika melawat UTMXCITE pula, delegasi diperkenalkan dengan pelbagai jenis barangan inovasi seperti robotik, mesin pencetak 2D, mesin ukiran kayu serta pelbagai lagi fasiliti yang terdapat di sana. Ruang pejabat yang besar dan luas serta mempunyai ruang pentas yang sesuai digunakan untuk unipreneur membuat pitching berkaitan produk inovasi yang dilaksanakan oleh pelajar.
Pengarah UTMXCITE, Prof. Madya Dr. Abdul Rashid Husain memberikan taklimat ringkas tentang fungsi UTMXCITE kepada pelajar, pencapaian UTMXCITE serta pelajar yang berjaya menjadi usahawan hasil dari inovasi yang dijalankan semasa dalam pengajian.
“Kami dibawa melawat ladang madu kelulut dan yang uniknya ladang madu kelulut UTM terdiri daripada bahan perumah yang digunakan berbanding kebanyakkan madu kelulut yang lazimnya didapati dari kayu pokok. Bahan yang digunakan oleh penyelidik dari UTM ini digunakan daripada bahan yang kelihatan seperti simen batu.
Bahan ini didapati lebih ergonomik dan mampu menghasilkan lebih banyak madu dalam tempoh yang lama. Penjagaan yang mudah serta risiko pereputan yang minima, telah menambahkan lagi keunikan ladang madu kelulut UTM. Semasa di ladang tersebut, delegasi UTM turut dibawa melihat bagaimana lebah madu kelulut dipindahkan ke dalam perumah yang baru.