Tanjong Malim: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), UPSI dan Bahagian PERMATA, Kementerian Pendidikan Malaysia  sentiasa bekerjasama dalam meningkatkan kualiti asuhan dan didikan kanak-kanak terutamanya di Malaysia. 

Pihak Bahagian PERMATA telah menyatakan hasrat untuk memberi peluang latihan dan pembangunan kerjaya berkaitan pengajaran dan pembelajaran untuk pendidikan kanak-kanak awal usia terutamanya pendidikan yang berteraskan kepada Science, Technology, Engineering, Art, dan Mathematics (S.T.E.A.M). STEAM merupakan merupakan integrasi ilmu untuk menjadi satu bidang pendidikan yang lebih bermakna dan praktikal untuk pendidikan abad yang ke-21. Justeru, melihat kepada kepakaran dalam bidang tersebut ada di UPSI, pihak Bahagian PERMATA telah memberi kepercayaan kepada NCDRC, UPSI untuk melaksanakan Kursus Pendidikan STEAM kepada pendidik Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN).

Pengarah NCDRC, Prof. Madya Mazlina binti Mustafa berkata, objektif kursus STEAM adalah untuk membina pemahaman khusus di kalangan pendidik PERMATA mengenai konsep, falsafah dan skop pendidikan STEAM untuk kanak-kanak (3+-4 tahun) di PAPN dan peranannya dalam membina kemahiran Abad 21 dan minat terhadap STEAM.  Menerusi kursus ini, Kurikulum PERMATA Negara  telah diperhalusi dan strategi pengajaran-pembelajaran STEAM yang sesuai dengan umur, tahap perkembangan dan persekitaran kanak-kanak di PAPN telah diajar kepada pendidik.

Menurut Timbalan Pengarah Penyelidkan dan Inovasi NCDRC, Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah pula, “melalui aktiviti bengkel STEAM ini, pendidik PERMATA telah didedahkan  dengan skop, konsep, kemahiran pedagogi STEAM serta  bahan-bahan yang sesuai untuk dikembangkan sebagai Projek STEAM di PAPN. Pendidiki PERMATA diajar merancang dan membina Projek STEAM menggunakan Kaedah Inkuiri-berasaskan Projek, dan melaksanakan projek tersebut dalam aktiviti kumpulan. Pendidik PERMATA juga diberi peluang membentang dan membincangkan aspek-aspek berkaitan projek STEAM yang dibina dan kaedah penilaian prestasi kanak-kanak yang perlu dijalankan.   

Fasa 2 yang berlangsung di Hotel Holiday Villa, Kelantan
Fasa 3 berlangsung di Hotel Pan Borneo, Sabah

Kursus STEAM ini telah dikendalikan melibatkan 3 fasa bagi memastikan Pendidikan STEAM sampai menyeluruh kepada semua pendidik PAPN. Fasa satu dikendalikan di Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Ogos 2023 melibatkan 47 orang pendidik PERMATA dari Kuala Lumpur, Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. Fasa kedua dikendalikan di Kelantan pada 18 hingga 20 Ogos melibatkan 42 Pendidik PERMATA dari negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Fasa ketiga telah dijalankan di Sabah pada 8 hingga 10 September 2023 melibatkan 33 orang pendidik PERMATA dari Sabah dan Sarawak. Kursus STEAM ini berakhir denga jayanya dan diharapkan pendidik PERMATA akan aplikasikan Pendidikan STEAM di PAPN.