Oleh: Dr. Nor Fadila Kasim & Azmirul Nizwan Kahar

Tanjung Malim- Bermula dari 22 hingga 26 September 2023, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi tuan rumah kepada CAPEU-AURORA Global Buddies Jamboree 23. Program yang dianjurkan bersama oleh Pusat Antarabangsa & Mobiliti bersama Pusat Kokurikulum UPSI, menyaksikan perhimpunan pelajar dari pelbagai negara  termasuk Indonesia, Thailand, Filipina, China, Palestin, dan Nigeria. Program ini turut disertai oleh rakan Global Buddies dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Petronas, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Putra Malaysia. Acara ini diadakan bertujuan untuk menjadi platform pertukaran budaya, dan jalinan persahabatan dalam kalangan pelajar universiti.

Pembukaan Jamboree dimulakan dengan aktiviti lawatan ke Perkampungan Orang Asli di Post Tenau, Ulu Slim Perak. Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Prof Madya Dr. Mazuki Mohd Yasim, “Perkampungan Orang Asli ini sangat unik disebabkan oleh faktor geografinya yang terletak di banjaran Titiwangsa dan merupakan garis sempadan negeri Perak dan Pahang”. Kata beliau lagi, “Perkampungan Orang Asli suku Semai ini mempunyai dengan kecantikan ekosistem dan terkenal dengan jolokan sebagai kampung terbersih. 

Selesai sahaja aktitivi ice-breaking dan lawatan sekitar perkampung Orang Asli, aktiviti diteruskan dengan sesi pembuatan kraftangan bersama Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif. Semasa program ini, pelajar antarabangsan didedahkan dengan kemahiran mengait Macrame dan seni pembentuk acuan. Pelajar diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman pembuatan seni kraft tersebut. Pengalaman praktikal ini bukan hanya bersifat pendidikan tetapi juga cara yang sangat baik untuk menghargai seni dan tradisi yang unik.

Program malam diteruskan dengan aktiviti berkumpulan dan campfire di UPSI Adventure Park. Di sini, para pelajar mengambil peluang untuk berinteraksi di antara satu sama lain, dan merasai pengalaman perkhemahan yang menyeronokkan.

Hari kedua Jamboree menjanjikan lebih banyak pengalaman menarik dan menyeronokkan. Program dimulakan dengan aktiviti mengarung jeram di Sungai Klah, Sungkai. Arus jeram yang mencabar di Sungai Klah memberikan banyak pengalaman baharu kepada pelajar seperti fakor keselamatan, kerjasama kumpulan dan kepentingan mendengar arahan pengemudi raft sepanjang menyelusuri sungai. Program ini juga berjaya meningkatkan keyakinan pelajar dan menyediakan pengalaman yang berbeza dan ekstrim.  

Aktiviti malam pula diteruskan dengan sesi pengenalan kepada kemahiran survival di dalam hutan. Di bawah bimbingan instruktur, pelajar mempelajari cara memasak nasi menggunakan buluh. Kemahiran baharu yang mereka pelajari ini bukan sahaja memerlukan teknik yang betul, malah , mereka juga perlu menunjukkan nilai kerjasama semasa penyediaan nasi buluh ini. 

Sepanjang dua hari berlangsungnya program ini, peserta Jamboree telah diterapkan dengan pelbagai pengalaman baharu dan berjaya membina persahabatan bersama rakan-rakan dari pelbagai negara.