Oleh: Patricia Pashella Anak Lampon
TANJONG MALIM: Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE), UPSI telah berjaya menaungi Program University To Community (UTC) 2.0 2023 selama tiga hari dua malam dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di Dewan Muallim, Scholar’s Suites UPSI. Program ini bertujuan untuk membantu meningkatkan pendapatan syarikat milik mahasiswa serta memperkasa sosioekonomi isi rumah komuniti penerima manfaat (beneficiaries) seiring dengan hasrat KUSKOP yang mengarus perdana perusahaan sosial.
Program keusahawanan sosial ini melibatkan sejumlah 21 buah Institut Pengajian Tinggi (IPT), termasuk 18 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), dua buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK). Antara objektif UTC 2.0 adalah mahasiswa boleh mentransformasi pemikiran dan model perniagaan dalam bidang keusahawanan menerusi sesi gerak kerja lapangan sebagai usahawan sosial, menggalakkan mahasiswa memindahkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka kepada komuniti bersasar, serta melahirkan usahawan komuniti bersasar dengan meningkatkan pendapatan isi rumah komuniti bersasar.
Majlis Pelancaran dan Perasmian Program University To Community (UTC) 2.0 2023 telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiusaha (Dasar) Kementerian Pengajian Tinggi, Ybhg. Dato’ Dr. Haji Megat Sany bin Megat Ahmad Supian pada hari Rabu. Sehubungan ini, pihak KPT menyalurkan dana sebanyak RM 20,000 kepada 21 buah instusi yang terlibat. Semua peserta mewakili institusi masing-masing memperkenalkan pelan keusahawanan sosial dengan menggunakan Social Business Model Canvas (SBMC) kepada Timbalan Ketua Setiusaha (Dasar) KPT.
Peserta yang terlibat dalam program UTC 2.0 akan melalui enam fasa yang bermula dengan Training of Trainers (TOT) untuk Induk Program, kemudian TOT peringkat IPT, Bootcamp Usahawan Sosial, Bengkel Kemahiran Bersama Komuniti, Penghasilan Produk Komuniti dan diakhiri dengan Simposium UTC 2.0 pada bulan Julai 2024. Anugerah penghargaan akan diberikan mengikut 3 kategori iaitu Anugerah Projek Terbaik, Anugerah Pameran Terbaik dan Anugerah Pembentangan Terbaik. Oleh hal yang demikian, Mentor dan Ketua Pelajar amatlah perlu memainkan peranan masing-masing agar dapat mencapai objektif program perusahawanan sosial ini.