Oleh: Muhammad Nur Mizan Mustafa

Tanjung Malim – Program CPR FIMA LIVESAVERS anjuran Hospital Slim River dengan kerjasama Pusat Kesihatan UPSI dan Pusat Islam UPSI telah diadakan dengan jayanya pada 30 September. Program yang bertemakan “Serentak di 4 negeri dan 20 negara” telah memilih Masjid Al-Mursyidin UPSI sebagai salah satu lokasi program bagi mewakili negeri Perak. Tahun ini merupakan tahun ke- 5 “International FIMA Lifesavers Day” dianjurkan di Malaysia. 

Objektif program ini dilaksanakan bagi memberi pendedahan awal kepada orang awam mengenai Bantuan Kecemasan dan langkah-langkah yang perlu diambil sewaktu mengalami situasi tersebut. Lebih 100 orang telah menyertai program ini termasuklah agensi luar, penjawat awam, mahasiswa dan masyarakat setempat.

Terdapat lima stesen utama yang menjadi kunjungan para peserta  dengan bimbingan jurulatih kesihatan yang bertauliah sepanjang program iaitu CPR Dewasa dan Penggunaan AED (stesen 1), CPR Bayi (stesen 2), Tercekik Dewasa (stesen 3), Tercekik Bayi (stesen 4) dan Rawatan Awal Kecemasan (stesen 5).

Di stesen 1 dan 2, peserta akan diajarkan kemahiran CPR serta langkah mengendalikan AED di tubuh mangsa. 5T harus diaplikasikan sewaktu mengendalikan CPR pada mangsa dimulai dengan TENGOK persekitaran bahaya, TEGUR dan lihat renspon mangsa, TELEFON 999 dan minta bantuan, TELITI pernafasan selama 5-10 saat dan TEKAN dada selama 2 minit.

Di stesen 3 dan 4 pula,  peserta akan diperlihatkan kemahiran pertolongan cemas bagi orang dewasa dan bayi yang tercekik. Terdapat beberapa langkah utama mengendalikan mangsa tercekik di kalangan dewasa dimulai dengan kenal pasti tanda tercekik diikuti 5 kali tepukan belakang dan lima kali tekanan perut. Manakala langkah yang perlu diambil dalam  mengendalikan bayi yang tercekik dimulai dengan kenal pasti tanda-tanda tercekik diikuti dengan 5 kali tepukan belakang dan 5 tekanan dada dan ulang semula langkah yang sama sekiranya masih tidak berkesan.

Di stesen 5 , peserta telah diberikan penerangan berkaitan teori kaedah rawatan atau langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya mangsa mengalami kemalangan. Antara pendedahan ialah langkah-langkah mengendalikan mangsa terkena air panas, lecur di kulit dan patah tulang.

Para peserta sangat teruja apabila diberi peluang mempraktikkan sendiri teori yang telah dipelajari menggunakan model patung bayi dan orang dewasa seakan-akan menguruskan mangsa sebenar.

Semoga pelaksanaan program seumpama ini dapat diperbanyakkan lagi pada masa hadapan bagi memupuk kesedaran kepada masyarakat untuk sentiasa peka dan prihatin dalam meringankan bebanan orang lain.