Oleh: Prof. Madya Dr. Kamarul Ismail & Dr. Mohd Syariefuddin Abdullah
Tanjong Malim: Menyedari pentingnya hubungan erat antara universiti dan komuniti, Fakulti Sains Kemanusiaan dengan kerjasama Bee Life Production mengambil inisiatif untuk menganjurkan kursus asas ternakan kelulut di laman rumah. Kursus terbuka ini memberi ruang kepada komuniti berdekatan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan semua yang berminat untuk menimba ilmu pengetahuan serta menjana kewangan melalui aktiviti penternakan kelulut ini.
Pengarah kursus asas ternakan kelulut, Prof. Madya Dr Kamarul Ismail berkata, penganjuran kursus ini merupakan sebahagian daripada aktiviti penjanaan Fakulti Sains Kemanusiaan merupakan strategi serampang dua mata yang melibatkan pemindahan ilmu, membina rangkaian hubungan yang erat bersama komuniti dan seterusnya menyokong dasar penjanaan kewangan universiti.
Menurut beliau, kursus julung kali yang diadakan ini mendapat sokongan padu daripada Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Madya Dr. Nor Kalsum Mohd Isa telah berjaya dilaksanakan pada 9 September 2023 bertempat di Bilik Interaksi, Fakulti Sains Kemanusiaan. Peserta kursus diberi pendedahan kepada kepentingan lebah kelulut sebagai agen pendebungaan, proses penternakan yang mementingkan kelestarian dan potensi ekonomi daripada penjualan madu, propolis dan roti lebah yang dihasilkan.
Dr. Mohd Syariefuddin Abdullah, penceramah jemputan dalam kursus ini berkata “Kelulut adalah agen pendebungaan yang sangat penting dalam ekosistem yang kompleks ini. Ilmu pengetahuan tentang serangga kecil ini perlu disebarluaskan kerana ia memberi kesan langsung kepada kehidupan manusia. Albert Einstein meramalkan, sekiranya lebah pupus dari muka bumi ini, manusia hanya dapat bertahan hidup selama 5 tahun sahaja.”
Walaupun jadual kursus yang padat sepanjang hari, peserta kursus sangat teruja untuk mengikuti tentatif kursus yang disusun terutamanya pada sesi amali membuat perangkap, memotong dan memasang topping kelulut. Kedua-dua sesi ini dikendalikan oleh Mohd Hamizan dan Mohd Danial Adnan yang aktif berkongsi kandungan tentang kelulut di Tik Tok Bee Life Production. Menurut Mohd Daniel, video tentang pembuatan perangkap kelulut di Tik Tok beliau telah mencapai 1.2 juta kali tontonan yang membuktikan masyarakat di negara ini telah mulai menunjukkan minat kepada aktiviti ternakan kelulut.
Kedua-dua anak muda ini sangat bijak menggunakan peluang dan menjana pendapatan melalui perkongsian di media sosial. Hasil penjualan produk daripada ternakan kelulut digunakan untuk menampung perbelanjaan semasa di Universiti. Lebih membanggakan kedua-dua anak muda ini adalah graduan daripada UPSI dan generasi pertama kursus CPE2031 Kursus Ternakan Kelulut yang ditawarkan oleh Pusat Kokurikulum, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Kursus asas ternakan kelulut akan dianjurkan lagi pada tahun 2024. Semua komuniti setempat diseru untuk menyertai kursus ini bagi menambahkan ilmu pengetahuan tentang lebah kelulut dan sekaligus menjana pendapatan sampingan daripada aktiviti penternakan yang akan dilaksanakan.