Oleh: Zahidah Ab Latif
TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Sinergi TVET-UPSI, Fakulti Teknikal dan Vokasional dengan kerjasama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) telah menganjurkan program latihan TVETfuture Teknousahawan dalam bidang bakeri dan konfeksioneri.
Latihan yang memfokuskan pembuatan kek, biskut dan roti serta bimbingan keusahawanan ini dapat meningkatkan kompetensi peserta terutama golongan berpendapatan rendah (B40) dalam usaha meningkatkan pendapatan sosioekonomi terutama komuniti negeri Perak.
Program yang berlangsung pada 10 hingga 14 Oktober melibatkan 10 orang anak yatim yang berasal dari Perak yang berumur di antara 15 hingga 17 tahun. Di samping perkongsian ilmu, peserta juga telah dibekalkan kit penyediaan produk bakeri seperti ketuhar, pengadun, dan penimbang. Latihan ini dapat membentuk belia Perak untuk menjadi lebih berdaya saing, inovatif dan dapat mencipta kerjaya dalam bidang keusahawanan bakeri di masa akan datang.
Pelaksanaan program ini seiring dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana beliau menyatakan bahawa inovasi dan daya saing adalah teras utama dalam menghasilkan masyarakat madani.
Pengarah program, Prof. Madya Dr. Zaliza binti Hanapi berkata, matlamat utama program ini adalah untuk memperkasakan latihan dan kemahiran dalam penghasilan produk bakeri serta bimbingan keusahawanan dalam kalangan komuniti.
Program ini dijalankan selama lima hari, terbahagi kepada dua slot setiap hari iaitu slot latihan kemahiran bakeri dan slot keusahawanan. Slot perkongsian ilmu bersama komuniti telah diadakan pada hari terakhir di mana peserta berkongsi ilmu penyediaan kek kepada warga emas dari Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tanjong Malim.
Sementara itu, salah seorang peserta dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Azizah Roskang, 15, berkata dia menyertai bengkel ini adalah kerana minat yang mendalam pada bidang bakeri dan bercita- cita menjadi seorang chef. Dr. Zaliza berharap supaya setiap peserta yang hadir pada program ini memanfaatkan ilmu yang diperoleh dengan sebaiknya untuk menghasilkan produk yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi.