Oleh: Nasrul Zikri Mohd Nazri & Ummikalsum Mat Lazim

UPSI- Seramai 10 orang mahasiswa Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menjalani Program Mobiliti Antarabangsa (Outbound) Latihan Mengajar di empat buah sekolah di Brunei dengan kerjasama Kolej Universiti Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Brunei pada tahun 2023.

Menurut Prof. Dr. Marzita Puteh, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), dengan program yang dijalankan seperti ini menunjukkan keunggulan dan kebitaraan mahasiswa UPSI di peringkat antarabangsa. Program ini, katanya, akan menguji kemampanan mahasiswa UPSI di persada antarabangsa selain membantu universiti mempromosi program-program pengajian yang terdapat di UPSI. Menurut beliau jaringan industri dengan pihak Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dapat diluaskan lagi pada masa hadapan dengan pelbagai program yang boleh dirancang secara bersama.

Menurut Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum binti Mohd Isa, seramai 10 orang mahasiswa Fakulti Sains Kemanusiaan terlibat dalam melaksanakan program ini yang bermula pada 1 September sehingga 29 Oktober 2023. Mereka terdiri daripada enam orang mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dan empat orang Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al Quran dan Qiraat dengan Pendidikan.

“Ini merupakan satu usaha kami untuk memberikan pengalaman mahasiswa yang akan menjadi guru kemahiran dalam menimba pengalaman dan pengetahuan di peringkat antarabangsa. Ia juga merupakan program mobiliti yang dapat menjalinkan hubungan baik di antara dua universiti dan masyarakat sekolah di sana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengajian Islam, Prof. Madya Dr Husna Husain berkata berharap agar pelajar mengambil peluang sebaik-baiknya untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman dan pengetahuan ketika berada di luar negara. “Saya juga menganggap setiap pelajar ini sebagai duta kecil yang membawa nama baik pihak UPSI dan Malaysia, “katanya.

Di sepanjang program ini berlangsung, mahasiswa ini ditempatkan di empat buah sekolah iaitu Institut Tahfiz Al Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMSMJA), Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) dan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien (Maktab SOAS) dalam bidang Pendidikan Islam dan Tahfiz Al Quran. Mereka ditugaskan bukan sahaja dalam pengajaran dan pembelajaran, juga dilibatkan dalam mengawas dan mengendalikan ulangkaji dan peperiksaan, aktiviti ko-kurikulum dan mengendalikan program yang dirancang.

Mereka juga didedahkan dan diberikan pengalaman untuk menyaksikan sendiri budaya masyarakat di sana seperti majlis kesyukuran dan kerohanian, budaya pemakaian serta amalan kehidupan seharian.

Pihak pengurusan FSK mengucapkan tahniah kepada semua mahasiswa yang terlibat, juga kepada Ketua Jabatan Pengajian Islam, Prof. Madya Dr Husna Binti Husain, Penyelaras/Pegawai Penghubung antara UPSI dan KUPU SB, Brunei, Prof. Dr. Azmil Hashim, Penyelaras Latihan Mengajar AT35, Haji Mohamad Khairul Azman Haji Ajuhary, Penyelaras Latihan Mengajar AT36, Nurul Atiqah Amanina Mashudi dan Pensyarah Pengiring, Ummikalsum Mat Lazim yang memberikan komitmen yang tinggi dalam menjayakan program ini.

Begitu juga dengan pihak pengurusan Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang banyak memberikan kerjasama yang sangat baik terutamanya Ra’es, Dr. Haji Adanan Haji Basar, Dekan, Dr. Hajah Norwati Haji Abu Bakar, Timbalan Dekan, Ahmad Humaizi Samihon serta Dr. Kharhan Haji Jait, para pensyarah dan pegawai serta pihak pengurusan dan guru-guru di Brunei.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)