Oleh: Muhamad Usamah & Nor Hayati Aziz

Raub- Pusat Ulul Albab, UPSI dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Daerah Raub, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan 30 orang pelajar dari Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) telah terlibat di dalam program Jaulah Muhibah: Santuni Masyarakat Pribumi bersama masyarakat pribumi Pos Buntu, Raub, Pahang. Program yang berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini berfokuskan kepada kepentingan kebersihan dan kesihatan diri, silang budaya, dan pembangunan insan antara pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan masyarakat orang asli Pos Buntu, Raub.

Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh berkata program ini merupakan platform untuk mengenal pasti permasalahan dan membantu dalam pembangunan taraf akademik orang asli dengan adanya modul-modul dan latihan yang dibangunkan di Pusat Ulul Albab.

Dengan pelaksanaan program ini masyarakat orang asli di Pos Buntu mendapat peluang dan pendedahan teknik menjaga kesihatan serta yang beragama islam mendapat ilmu dari sudut kerohanian. Dua elemen ini diterapkan kepada masyarakat orang asli dalam melahirkan masyarakat yang sihat dan maju.

Slot Senamrobik (kiri) dan aktiviti sukaneka (kanan)
Penyediaan gotong royong memasak
Slot kesihatan

Selain daripada itu, terdapat pelbagai aktiviti riadah bersama masyarakat orang asli di sini yang sangat menarik seperti senamrobik, sukaneka dan persembahan kebudayaaan. Di samping itu, turut diadakan aktiviti gotong royong memasak dengan kerjasama Penggerak Jakim Daerah Raub dan Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Turut hadir dalam program tersebut iaitu Al-Fadhil Qadhi Daerah Raub Ustaz Muhammad Amin Abdul Mutalib, Tok Batin Pos Buntu Amran A/L Yok Pam, dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pos Buntu Din Chabok, Penggerak Jakim Daerah Raub, Yayasan Waja, JPKK Kela dan Ulu Sungai serta Masjid Kampung Ulu Sungai.

Menurut Al-Fadhil Qadhi Daerah Raub Ustaz Muhammad Amin Abdul Mutalib, kehadiran pelajar UPSI diharapkan dapat memberikan galakan kepada anak-anak di Pos Buntu untuk meneruskan pendidikan mereka ke peringkat tertinggi. Beliau juga berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang agar dapat membuka mata anak-anak orang asli akan kepentingan pendidikan dalam kehidupan serta turut menzahirkan kepentingan pendidikan dalam matlamat pembangunan lestari orang asli.

Semoga dengan penganjuran program ini dapat memberikan manfaat untuk kedua-dua belah pihak dalam memahami budaya dan agama lain di Malaysia serta mampu meningkatkan kesedaran masyarakat orang asli akan kepentingan kesihatan dan pendidikan dalam hidup mereka.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)