Oleh: Dr. Tajul Rosli Shuib & Nor Hayati Aziz

Shah Alam- Pusat Ulul Albab (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah melaksanakan bengkel lanjutan Standard TVET TAHFIZ@KKDW (siri 2) melibatkan lapan orang pakar rujuk TVET dan Tahfiz dari UPSI dan enam orang pegawai institusi pendidikan di bawah KKDW pada 2 hingga 4 November 2023, bertempat di Hotel Concorde Shah Alam.

Bengkel ini turut disertai Pengarah Pusat Pembangunan Akademik UPSI, Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli. Bengkel yang merupakan lanjutan bagi siri pertama ini telah membangunkan konsep asas berkenaan Standard TVET TAHFIZ@KKDW termasuk pendefinisian dan penstrukturan penulisan standard.

Bengkel ini bertujuan mengembangkan kerangka berkaitan standard yang telah dirangka pada siri sebelumnya dengan mengambil kira pandangan, panduan serta perkongsian daripada pegawai-pegawai institusi pendidikan dan kemahiran di bawah KKDW sebagai pelaksana. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan mendapatkan maklum balas peserta bengkel hasil daripada beberapa siri lawatan ke institusi-institusi pengajian KKDW yang menawarkan TVET TAHFIZ seperti GIATMARA Prima Tasek Gelugor, Maahad Tahfiz Akademi Al-Quran As-Syamil (AQSA) Bukit Mertajam dan GIATMARA Lumut, Perak. Kekuatan dan permasalahan dalam merintis program TVET TAHFIZ sedia ada dibincangkan secacara mendalam agar standard yang dihasilkan dapat dilaksanakan secara holistik.

Antara pengisian utama bagi bengkel adalah membincangkan kandungan standard secara terperinci dengan memberi penekanan kepada usaha penawaran program TVET TAHFIZ yang bersifat ideal bagi masyarakat Malaysia khususnya demi membuka ruang bagi pembentukan Huffaz Profesional yang berkualiti pada masa hadapan. Bengkel kali ini turut memutuskan beberapa garis panduan dalam penawaran program-program bersifat Ulul Albab termasuk dari aspek pengambilan pelajar, kurikulum, prasarana, kewangan dan tenaga kerja berdasarkan segala maklumat yang diperolehi daripada pegawai-pegawai KKDW dan peserta bengkel yang menyertai lawatan ke institusi-institusi TVET TAHFIZ KKDW.

Usaha membangunkan Standard TVET TAHFIZ@KKDW merupakan salah satu usaha Bersama UPSI dan KKDW dalam mendokong hasrat kerajaan dalam memperkasakan industri TVET TAHFIZ negara untuk menghasilkan modal insan dan tenaga mahir yang seimbang aspek dunia dan akhirat. UPSI telah dipilih sebagai perunding bagi mewujudkan standard khusus bagi KKDW serta menjadi penanda aras bagi penawaran pengajian seumpamanya di dalam dan luar negara.

Bengkel 3 hari ini telah berjaya menghasilkan satu kerangka standard yang lebih lengkap untuk dibawakan ke siri-siri selanjutnya yang akan melibatkan panel-panel penilai. Ia juga turut berjaya memperkukuhkan hubungan baik antara UPSI dan KKDW sebagai organisasi yang serius memperkasakan industri TVET TAHFIZ di Malaysia.