Oleh: Masayu Dzainudin & Iylia Dayana Shamsudin (NCDRC)

Tanjong Malim: Hari Kanak-kanak adalah hari untuk meraikan hak kanak-kanak bertujuan mendapatkan kualiti pendidikan dan kelangsungan hidup serta hak mereka untuk bermain. Sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan Peringkat Negeri Perak yang dianjurkan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) pada 16 November, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak, aktiviti komuniti COPE Banjir telah diadakan.

Tujuan aktiviti komuniti ini adalah bagi menyampaikan mesej pengurangan risiko bencana khususnya banjir menggunakan buku cerita COPE Banjir yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu. Aktiviti ini diketuai oleh Dr. Masayu Dzainudin bersama Dr. Iylia Dayana Shamsudin dari NCDRC, UPSI dan Dr. Nor Mashitah Mohd Radzi dari Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dan dibantu oleh pendidik TASKA dan TADIKA NCDRC, En. Mohamad Nor Zakuan bin Abdul Rashid dan En. Muhammad Fatkhurrozak Bin Sokhipul Hadi serta enam orang sukarelawan pelajar ISMP Pendidikan Awal Kanak-kanak. Aktiviti ini dilaksanakan bersama 10 orang kanak-kanak orang asli dari Kampung Chinggung, Behrang, Perak yang pernah mengalami keadaan banjir yang berlaku pada bulan September 2023.

COPE Banjir adalah sebuah buku cerita bergambar yang menyampaikan mesej persediaan menghadapi banjir dengan menggunakan watak kanak-kanak sebagai skuad COPE yang menyebarluaskan maklumat berkaitan pengurangan risiko bencana banjir. Aktiviti ini melibatkan pembacaan buku cerita COPE Banjir oleh Dr. Masayu Dzainudin bersama dengan kanak-kanak orang asli dan mengaitkan jalan cerita mengikut konteks pengalaman banjir yang dialami oleh kanak-kanak tersebut.

Mesej penting yang disampaikan melalui aktiviti COPE Banjir ini adalah langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil oleh kanak-kanak sebelum, semasa dan selepas situasi banjir. Usai sesi bercerita, setiap kanak-kanak diberikan sebuah buku cerita COPE Banjir untuk dibaca dan diceritakan semula mesej yang disampaikan bagi mengenal pasti pengetahuan persediaan kanak-kanak terhadap banjir.

Kanak-kanak membaca buku cerita COPE Banjir dibantu oleh pelajar sukarelawan

Turut hadir bersama dalam aktiviti ini adalah Muhammad Ghazawi Zulkarnain, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Muallim. Beliau mengatakan bahawa program COPE ini dapat membantu dari sudut persedian mental, memulih emosi dan perkembangan pengetahuan tentang bencana yang berlaku di Malaysia seperti bencana banjir kepada masyarakat khususnya golongan kanak-kanak. Beliau juga berharap agar COPE Banjir dapat dapat diperluaskan manfaatnya melalui perkongsian meliputi seluruh Malaysia untuk manfaat bersama bagi kesiapsagaan kanak-kanak serta orang dewasa ketika menghadapi bencana banjir.

Hasrat beliau adalah selaras dengan misi buku cerita COPE Banjir untuk mendidik kanak-kanak di seluruh dunia agar mereka dapat menjadi skuad COPE dalam komuniti bagi menyampaikan mesej pengurangan risiko bencana banjir.

Kanak-kanak meneliti peta bahaya banjir dengan bimbingan Dr. Iylia Dayana Shamsudin

Aktiviti ini juga memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengenal pasti alat keperluan yang perlu dibawa dalam ’beg selamat’ ketika banjir melalui permainan ’treasure hunt’ yang dikendalikan oleh Dr. Iylia Dayana Shamsudin. Hasil daripada permainan ini, didapati bahawa kanak-kanak jelas dan faham tentang keperluan dan kegunaan setiap peralatan ketika menghadapi banjir. Kanak-kanak juga bersedia menjadi skuad COPE Malaysia dengan langkah keselamatan banjir bersama komuniti ini .

Menurut Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Pengarah NCDRC, aktiviti ini merupakan pemangkin untuk mendidik kanak-kanak tentang risiko bencana alam, khususnya banjir. Beliau juga menyatakan ”mesej yang disampaikan melalui penceritaan yang santai membolehkan kanak-kanak mudah memahami langkah-langkah keselamatan sebelum, semasa dan selepas banjir untuk mereka praktikkan sekiranya berlakunya banjir dalam komuniti.”  

Aktiviti ini adalah pertama kali dilaksanakan bersama dengan kanak-kanak orang asli dalam komuniti berhampiran UPSI yang bertujuan untuk mendidik kanak-kanak tentang persediaan menghadapi banjir.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)