Oleh: Dr Norly Jamil (FPM), Mohd Nor Zakuan Abdul Rashid & Muhd Fatkhurrozak Sokhipul Hadi (NCDRC)

Tanjong Malim: Kanak-kanak adalah pewaris negara untuk memacu pembangunan negara pada masa hadapan. Keperluan untuk menjaga hak kanak-kanak adalah kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh masyarakat agar kanak-kanak dapat hidup dengan aman, selamat dan bahagia.

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Penyelidik Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) dan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) telah menganjurkan forum kesedaran masyarakat yang diadakan sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Kebangsaan Peringkat Negeri Perak 2023.

Forum Penderaan Kanak-kanak dalam Konteks Kesejahteraan Keluarga berlangsung pada 16 November 2023 dan mengundang barisan panel yang berkepakaran dalam bidang undang-undang penjagaan hak kanak-kanak.

Perbincangan secara maya ini diketuai langsung oleh Nadia Shahira Amiruddin yang merupakan Pensyarah di Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak, FPM.

Antara pakar yang hadir berkongi iaitu Dr. Farah Nini Dusuki sebagai Pesuruhjaya Kanak-kanak, Hamizan Ab Hamid, Penolong Pengarah Bahagian Kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perak dan Insp Raja Nabila Raja Abdul Samad, Pegawai Polis IPD Muallim.

Menurut Dr. Farah, negara Malaysia mempunyai Akta Kanak-kanak 2001 dimana akta ini ditubuhkan bukan hanya menghukum tetapi ia juga mempunyai pelbagai peruntukan untuk mewujudkan mekanisme yang boleh menghindarkan penderaan berlaku secara berleluasa.

“Kita perlu faham bahawa fungsi utama undang-undang bukan untuk menghukum tetapi ia untuk melindungi kita semua dari risiko orang-orang yang melakukan jenayah,” katanya.

Di akhir perbahasan juga dapat disimpulkan bahawa kesemua agensi termasuklah JKM, Polis dan sebagainya tidak membenarkan sebarang jenis penderaan secara fizikal mahupun mental.

Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr Mazlina Che Mustafa sentiasa menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak apabila berada di sekolah.

“Sebagai pusat pendidikan kanak-kanak, kita perlu bersama mewujudkan suasana harmoni di sekolah dan membantu kanak-kanak mendapatkan pengalaman terbaik untuk mereka bawa dalam kehidupan mereka,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa pendidik, ibubapa, agensi dan semua pohak perlu memainkan peranan penting masing-masing untuk menyediakan peluang dan mencungkil potensi yang ada dalam diri kanak-kanak dengan bantuan ruang belajar yang selamat.

Kanak-kanak berhak mendapatkan kehidupan yang sempurna dengan hidup di persekitaran yang selamat dan sihat serta mampu mendapatkan pendidikan yang terbaik buat mereka.

Orang awam perlu sentiasa peka terhadap undang-undang yang melindungi kanak-kanak agar kes-kes penderaan ini dapat dihentikan dan memberi sinar baru untuk menuju Malaysia yang harmoni.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)