Oleh: Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi, Mohd Adam Haris Fadzilah & Mohd Akmaluddin Syarif Mohd Noor

Tanjong Malim: Istiadat Konvokesyen adalah tempat lakaran senyuman, tangisan, kegembiraan dan kebahagian yang terukir dengan penuh ceria dan bermakna. Ia adalah sejarah dimana setiap graduan menikmati setiap titik peluh perjuangan dalam mereka menghadapi cabaran sepanjang bergelar mahasiswa.

Graduan Program ISMP Pendidikan Khas UPSI mengambil inisiatif apabila mereka menggunakan bahasa isyarat tangan sebagai tanda menghargai setiap pengorbanan para guru dan ibu bapa.

Antara bahasa isyarat yang digunakan adalah ‘terima kasih ibu ayah’, ‘syukur Alhamdulillah’, ‘sayang semua’ dan banyak lagi.

Bahasa Isyarat ini adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa mahasiswa UPSI khususnya sentiasa peka dan prihatin dengan golongan kurang upaya dan ini adalah salah satu cara untuk membahagikan kebahagiaan bersama mereka.

Potret Graduan ISMP Pendidikan Khas bersama pensyarah Jabatan Pendidikan Khas

Nor Maisarah Jamaluddin,26 menjelaskan bahawa beliau menggunakan bahasa isyarat ‘terima kasih’ untuk mengungkapkan rasa syukur dan terima kasih untuk 4 tahun perjalanan akademik dalam sarjana muda pendidikan khas.

“Tujuan saya membuat isyarat tangan adalah untuk mengabadikan rasa terima kasih saya melalui siaran langsung UPSI. Saya juga ingin berkongsi kegembiraan kepada rakan-rakan OKU kita untuk mereka dapat merasakan kebahagian kami dan memacu mereka untuk terus cemerlang,” katanya.

Suzana Saidi (24) menambah bahawa isyarat tangan memberi gambaran toleransi sesama masyarakat yang berlainan latar belakang.

“Isyarat Alhamdulillah yang saya bawa di pentas adalah untuk membuktikan bahawa segala apa yang kita dapat adalah daripada Allah SWT. Sign language itu untuk mereka yang kekurangan dari segi pendengaran dan semoga ini adalah toleransi kami sebagai bakal guru pendidikan khas yang akan terus menerapkan jiwa seorang pendidik,” ujarnya.

Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Khas UPSI, Dr Kway Eng Hock menyatakan rasa bangga ketika kesemua graduan menerapkan ilmu pendidikan khas dalam diri mereka.

“Kami di Jabatan Pendidikan Khas UPSI akan terus menerajui kemenjadian mahasiswa untuk menjadi seorang guru yang cemerlang secara holistik. Dengan adanya program dalam bidang masalah pembelajaran, penglihatan dan pendengaran, mahasiswa akan menjadi seorang guru yang ‘complete package’ ketika mereka ditugaskan dimana-mana sahaja,” katanya.

UPSI melalui JPK dan FPM akan sentiasa menyediakan ruang dan peluang membantu mahasiswa dalam bidang pendidikan khas untuk mengembangkan potensi dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru yang berkebolehan, berkaliber dan berpotensi besar.

UPSI sebagai Peneraju Kebitaraan Pendidikan akan sentiasa menjadi peneraju kepada kecemerlangan pendidikan dan menyokong meningkatkan mutu pendidikan negara sesuai dengan visi misi kementerian untuk melahirkan mahasiswa yang holistik.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)