Oleh: Nurshafiqa Shahrun Nizam

Tanjung Malim: Sampah-sarap merupakan satu perkara yang tanpa kita sedar semakin bertambah dari hari ke hari. Tidak mustahil satu hari nanti tiada lagi kawasan untuk pelupusan sampah sehingga menyebabkan kawasan penempatan atau rumah kita dikelilingi sisa sampah ini. Pasti kita tidak mahukan situasi tersebut daripada berlaku. Di sini datangnya kesedaran untuk kita mengamalkan kitar semula di setiap aspek kehidupan kita. Botol-botol yang sebelum ini dibuang boleh dikitar semula untuk menjadi produk lain yang berfungsi.

Sehubungan dengan itu, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah menganjurkan program ‘Eco Recycle Fun Buidling’: Mendayakan Kreativiti, Memulihkan Alam yang berlangsung pada 3 Disember bertempat di perkarangan kolej Harun Aminurrashid (KHAR).

Program ini bermula seawal jam 8.30 pagi hingga 12.25 tengah hari, dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada semua penghuni dengan penglibatan seramai 80 orang penghuni secara keseluruhan.

Program ini dimulakan dengan aktiviti senamrobik bagi tujuan regangan sebelum bermulanya aktiviti utama iaitu inovasi. Glosari Teknologi Pendidikan (1995) pula merujuk inovasi sebagai idea, konsep atau strategi baru yang boleh mempertingkatkan sesuatu amalan. Inovasi merupakan pembaharuan barangan buangan yang lama contohnya dihasilkan melalui  surat khabar, kotak, botol-botol kosong , penyedut minuman dan lain-lain. Inovasi akan diuji  mengikut tahap  kekukuhan dan kreativiti para peserta. Para peserta juga perlu membentangkan hasil kerja mereka di hadapan juri-juri yang bertugas mengenai kelebihan penciptaaan model masing-masing.

Penasihat Program, Hazman Ya’akob berkata program ini merupakan salah satu usaha bagi memupuk rasa cinta kepada alam sekitar, khususnya terhadap penghuni Kolej Harun Aminurrashid.

“Sejak kebelakangan ini, isu sampah sarap dalam kalangan masyarakat semakin membimbangkan sehingga menyebabkan pelbagai penyakit yang berbahaya contohnya demam denggi”. Hal ini perlu dicegah daripada akar umbi iaitu melalui kesedaran individu untuk mengamalkan amalan kitar semula supaya kita dapat menyelamatkan bumi kita daripada pencemaran alam sekitar,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa program ini bukan sekadar untuk memupuk rasa cinta kepada alam sekitar akan tetapi, ia juga dapat mengajar nilai kerjasama, kesabaran, strategi, dan kemahiran sosial sesama penghuni.

Program seperti ini perlu dilaksanakan supaya penghuni Kolej Harun Aminurrashid terus mengamalkan budaya kitar semula dalam kehidupan seharian. Selain itu, ia juga memberikan ruang kepada penghuni untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan dapat memanfaatkan hari hujung minggu penghuni kolej dengan aktiviti yang berfaedah.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)