Oleh: Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi, Mohamad Taufiq Marzuki & Noel Rendall Robin

Tanjong Malim: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah tunjang utama dalam menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang teknikal. TVET menjadi keperluan di mana Malaysia menuju kepada pembangunan ekonomi dan industri pesat sehingga banyak graduan vokasional menjadi seperti ‘goreng pisang panas’ dalam kalangan majikan.

Universiti Pendidikan Sultan Idris melalui Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) sentiasa komited dalam menyediakan program dan tempat untuk meningkatkan kemahiran dan kepakaran sehingga mereka mampu menerajui keperluan industri era kini.

Industri reka cipta menjadi permintaan alaf-21 yang di mana program-program inovasi banyak dianjurkan untuk memberi ruang para akademik dan pemain industri mengeluarkan produk ciptaan mereka yang memberi manfaat kepada para pengguna.

Muhammad Hafizul Helmi Kamarudin, Alumni UPSI dan pemegang Anugerah Khas Inovasi Dr. Ishak Johari menyatakan bahawa UPSI sentiasa membuka ruang yang besar untuk menerima lulusan menengah vokasional untuk meneruskan pengajian di peringkat tertinggi.

“Sebagai alumni vokasional, saya melihat UPSI sentiasa membuka pintu dalam menyediakan peluang mahasiswa mencipta nama di pertandingan inovasi yang dianjurkan. Banyak program yang melibatkan TVET menjadi keutamaan universiti dalam kemenjadian mahasiswa yang dapat membangun TVET di Malaysia tidak hanya dalam bidang pendidikan vokasional malahan kepakaran dalam industri secara langsung,” katanya.

Sebelum ini, UPSI menganjurkan Pertandingan Pendidikan Sukan Permotoran (FMEC) yang mempamerkan kebolehan dan kemahiran mahasiswa untuk menghasikan reka bentuk kereta formula satu (F1).

Dekan FTV, Dr. Mohd Azlan Mohd Hussain menyatakan bahawa program seperti ini adalah bukti UPSI dan FTV memainkan peranan besar dalam meneraju TVET cemerlang dalam kalangan mahasiswa dan komuniti.

“Program seperti ini akan memberikan pengalaman kepada mahasiswa untuk menceburi langsung industri reka cipta serta menjadi platform mahasiswa menterjemahkan semua teori, ilmu dan kemahiran mereka untuk menghasilkan produk inovasi yang sebenar,” katanya.

Anugerah Hadiah Buku Dato Ramly Mokni, Kautsar Mohammad Mansor menceritakan bahawa peranan pendidik dan staf pengurusan di FTV sentiasa cepat dalam mengetengahkan bakat mahasiswa lebih-lebih lagi dalam penciptaan produk yang akan dibawa bertanding di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya sangat berterima kasih kepada warga pendidik dan pengurusan FTV yang banyak membuka jalan mahasiswa untuk menunjukkan bakat mereka dan membaw produk mereka ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Peluang seperti ini sangat memberi impak besar dan positif dalam membangun mahasiswa dengan pakej yang lengkap,” katanya.

Kedua-dua alumni UPSI ini beberapa kali mencipta nama dalam pertandingan inovasi di peringkat antabangsa dan salah satunya adalah Gold Award di Asian Youth Innovation Awards 2021. Mereka juga terlibat dalam Program Mobiliti Latihan Mengajar Antarabangsa di Universitas Negeri Yogyakarta, Indonesia.

“Sebagai alumni Fakulti Teknikal dan Vokasional, sudah tentu harapan saya adalah untuk menyumbangkan segala kemahiran dan pengetahuan yang saya ada untuk diaplikasikan dalam dunia inovasi serta menyelesaikan real-world challenges terutamanya dalam bidang pendidikan,” ujar Kautsar.

Hafizul juga menambah bahawa beliau akan terus bersama UPSI membangun TVET yang cemerlang dalam bidang penyelidikan, inovasi, ciptaan produk dan pendidikan khususnya.

“Jika diberikan peluang dan ruang, Insya-Allah saya akan terus terlibat dengan pihak universiti melalui penyediaan mentor, penyertaan dalam perkongsian industri, serta menyokong inisiatif yang menggalakkan pembelajaran berterusan dan inovasi,” tambahnya.

UPSI sebagai Peneraju Kebitaraan Pendidikan akan terus memastikan mahasiswa UPSI sentiasa keluar dengan nilai yang tinggi serta mampu berdaya saing dalam industri dan membawa perubahan dalam meningkatkan mutu dan kemajuan Malaysia ke arah negara maju.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)