Ditulis Oleh: Zainun binti Mustafa, Muhd Ibrahim bin Muhamad Damanhuri, Nur Izwani binti Mohd Shapri dan Lilia Ellany Binti Mohtar

Tanjong Malim- Kelab Alam Sekitar (RAS), Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan sokongan dari Strengthening Human Rights and Peace Research and Education in ASEAN/Southeast Asia (SHAPE-SEA) telah menganjurkan webinar yang bertajuk “Webinar on the Environmentalism in Science Education from Local and International Perspectives”. Webinar ini telah melibatkan dua sesi iaitu pada 29 November 2023, 1500MYT-1610MYT dan 2 Disember 2023, 1000MYT-1110MYT. Bertujuan untuk mendedahkan tentang agenda pendidikan lestari yang berkaitan dengan alam sekitar di peringkat antarabangsa dan serantau, webinar ini merupakan titik mula bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti yang kelestarian alam sekitar melalui amalan pendidikan secara lebih tersusun di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Kuat ikan kerana insang, kuat burung kerana sayap, demikian juga penceramah yang hadir bagi sesi tersebut. Setiap penceramah memberikan perspektif yang berbeza berdasarkan pengalaman unik mereka. Encik Bernard Combes dari ibu pejabat UNESCO, Paris berkongsi agenda pendidikan lestari global dan pemupukan pro-alam sekitar dengan menekankan keterlibatan dan peranan guru dalam agenda-agenda tersebut diperingkat antarabangsa.  Tegas beliau, guru perlu memahami dan mengkaji realiti tempatan dan menjadikan pendidikan sebagai wadah untuk memupuk amalan dan sikap yang pro-alam sekitar dengan memanfaatkan ekosistem yang sedia ada. Manakala Dr. Ezral Ghazali dari Leave a Nest pula memperincikan tentang peranan usahasama dalam pendidikan yang merentasi pelbagai komuniti pendidikan di peringkat serantau.

Tidak hanya tertumpu kepada pandangan pakar dari institusi antarabangsa, webinar ini juga menggandingkan guru-guru hebat yang berkongsi pengalaman tentang amalan-amalan pegadogi secara praktikal dalam menggalakkan sikap pro-alam sekitar melalui ekosistem sekolah di Malaysia. Dr. Lee Saw Im, berkongsi kisah-kisah kejayaan yang begitu mengaspirasikan melalui pelbagai pendekatan pendidikan berbeza. Manakala Encik Mohd. Syafrul Nizam pula menjelaskan peranan seluruh warga sekolah dalam mengangkat agenda kelestarian secara sistematik. Secara keseluruhannya, webinar ini telah menjadi platform perkongsian strategi praktikal untuk menggabungkan alam sekitar ke dalam pendidikan sains dalam konteks tempatan, yang turut disokong oleh badan-badan antarabangsa.

Webinar ini menyahut seruan Persidangan Pendidikan Transformasi oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menekankan bahawa sekolah merupakan titik permulaan yang penting bagi mengurangkan kesan perubahan iklim dan melestarikan alam sekitar. Namun perkara ini perlu bermula seawall latihan keguruan lagi. Sesi ini telah ditayangkan secara ‘live’ melalui WebEx dan turut dikongsikan melalui Facebook RAS dan Youtube untuk menyokong penyertaan yang lebih besar melebihi had platform mesyuarat maya. Hasilnya, webinar telah menginspirasikan warga pendidikan UPSI dengan memberi pengetahuan praktikal, kontekstual, dan berstrategi untuk menggabungkan kepentingan alam sekitar ke dalam pendidikan melalui pelbagai pendekatan. Warga RAS dan FSM mengharapkan agar lebih banyak aktiviti pro-alam sekitar dapat dilaksanakan pada masa akan datang di dalam kampus tercinta ini. Pautan rakaman: Sesi 1: https://www.youtube.com/watch?v=WwydHQfueA8 manakala Sesi 2: https://www.youtube.com/live/kTt1h1uUZeo?feature=shared

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)