Tanjong Malim – Isu belia bankrap dan masalah kesihatan akibat gaya hidup yang menunjukkan peratusan membimbangkan dalam kalangan belia di negara ini telah diangkat sebagai fokus kepada program pemindahan ilmu oleh kumpulan perunding daripada Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program Pemindahan Ilmu-Pemakanan Sihat dan Pengurusan Kewangan oleh FPE ini telah diadakan pada 21 Oktober dan 23 November yang lalu.

Perlaksanaan program pemindahan ilmu ini melibatkan golongan belia-belia muda dan pertengahan daripada dua institusi iaitu SABK Maahad Al-Ummah, Chemor, Perak dan Institut Kemahiran Belia Negara, Peretak, Selangor.

Pengisian bagi program yang telah dijalankan ini adalah merupakan satu usaha untuk mendekati golongan belia dengan membawa platfom isu kesihatan dan kewangan yang sering dianggap ‘biasa’ tetapi sangat penting sebagai ilmu pembelajaran sepanjang hayat. Pemilihan strategi aktiviti-aktiviti luar yang menyeronokkan berisi penuh dengan info yang bermanfaat telah menjadikan program ini sangat sesuai dengan golongan belia yang sememangnya aktif, fear of missing out (FOMO) dan sentiasa ingin tahu. Selaras dengan itu juga, perlaksanaan program ini adalah bertujuan untuk menyokong pembinaan golongan belia agar sedar untuk mengambil tanggungjawab awal terhadap tahap kesihatan diri dan kesihatan kewangan serta memahami isu-isu semasa seperti isu keselamatan makanan yang banyak dibincangkan pada hari ini.

Selaku Ketua Program ini, Nurhanie Mahjom menekankan bahawa perancangan perlaksanaan program ini sememangnya dari awal adalah untuk mengembangkan lagi kemahiran-kemahiran insaniah belia seperti keterbukaan untuk bekerjasama, berupaya secara bijak untuk membuat keputusan berkaitan kewangan dan pemakanan dan boleh menerima kepelbagaian pendapat dalam kalangan belia sendiri. Selain itu, program ini  juga, direka untuk para perunding dapat berkongsi dan memindahkan ilmu dan kepakaran dari pihak UPSI  kepada komuniti belia setempat.

Nurhanie berkata, “Perlaksanaan dua fasa program ini telah berjaya membantu meningkatkan tahap kefahaman dan penguasaan amalan realiti cabaran warga belia hari ini iaitu mendepani masalah obesiti yang memacu kepada masalah kesihatan lain dan terhambatnya produktiviti pekerjaan serta mengganggu ‘kesihatan kewangan’ mereka.”

Menurut beliau lagi, dengan adanya pembiayaan sepenuhnya oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, UPSI di bawah Geran Pemindahan Ilmu (2023-0052-PP-01) ini, pihak perunding dan penyelidik UPSI dapat mendekati golongan sasaran dan jalinan UPSI dengan komuniti dapat diutuhkan. Hal ini penting kerana universiti yang dapat berperanan dengan wajar kepada masyarakat sekitarnya akan mampu untuk melonjakkan keterbukaan dan penerimaan idea-idea baru dan seterusnya dapat mengubah gaya dan kualiti hidup masyarakat tersebut.

Perkongsian ilmu ini turut melibatkan pakar kewangan UPSI, Dr. Zuriadah Ismail yang turut berkongsi maklumat berkaitan amalan catatan belanjawan dan pembuatan keputusan terhadap peruntukan kewangan. Keperluan terhadap penguasaan ilmu pengurusan kewangan peribadi daripada peringkat awal adalah amat penting, namun tidak semua belia berpeluang mendalaminya kerana masing-masing memilih atau meneruskan pengajian mengikut bidang pembelajaran yang berbeza-beza. Oleh itu dengan adanya program sebegini, ia dapat mendekati dan memberi peluang kepada golongan sasaran untuk tahu lebih terpeinci tentang ilmu yang dikongsikan.

Pihak institusi yang terpilih juga amat berpuas hati dan sangat mengalu-alukan sesi program seperti ini pada masa depan. Sebagai penghargaan di atas penglibatan dan komitmen yang diberikan oleh semua pihak, program ini diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati dan sesi bergambar kenangan bersama guru-guru yang hadir dan juga sijil penyertaan turut diberikan.