Oleh: Afiqah Ibrahim & As Farah Nur Azwin
Tanjong Malim – Kesenian dan kebudayaan menjadi sebuah identiti dan kebanggaan bangsa yang menonjolkan kepelbagaian dan perpaduan yang utuh. Program silang budaya menjadi medan penyatuan bangsa yang dikemas dalam ikatan seni mempamerkan keberagaman dan keindahan budaya dari negara masing-masing.
Bagi merealisasikan semangat perpaduan merentasi sempadan, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) UPSI menganjurkan program Astaka Wangsa yang berlangsung pada 22 Disember dengan kehadiran delegasi dari tiga buah universiti di Indonesia iaitu Universitas Syah Kuala, Banda Acheh, Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, Banda Acheh dan Universitas Riau, Batam.
Penganjuran program ini juga melibatkan kolaborasi dari Majlis Anak Johor (M@JOR), Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS) dan Jalinan Anak Sarawak (JASA) yang dihiasi dengan persembahan seni dari 4 buah negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Jepun yang penuh gilang gemilang dan sarat dengan nilai perpaduan sejagat.
Turut hadir Pengetua KHAR, Dr. Che Anuar Che Abdullah, Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK),Prof Madya Ts. Dr. Che Ghani Che Kob, Pengetua Kolej Aminuddin Baki (KAB)Prof Madya Dr. Syed Ismail Syed Mohamad, Pengetua Kolej Awang Had Salleh (KAHS), Dr Mardiana Ismail, wakil Bahagian Komunikasi Korporat, Ramli Mosmin, Ketua delegasi Indonesia, Harri Santoso, perwakilan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), barisan felo kolej kediaman dan staf pentadbiran KHAR.
Dr. Che Anuar Che Abdullah menzahirkan rasa syukur apabila KHAR diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah program Astaka Wangsa. Program yang bermatlamat meraikan kehadiran delegasi dari Indonesia ke UPSI disajikan dengan persembahan seni budaya yang mempamerkan kepelbagaian kaum di Malaysia dan keunikannya.
“Syukur dan terima kasih apabila KHAR diberi kepercayaan BKK untuk menganjurkan program ini. Kehadiran delegasi Indonesia ke bumi Muallim menjadi bukti bahawa UPSI sentiasa menjadi tarikan dan pusat ilmu untuk melestarikan budaya perpaduan dan persefahaman lintas negara,” katanya.
Bertemakan batik yang menjadi simbolik kepada kedua negara mewarnakan tema nusantara yang menjadikan kebanggaan masyarakat umumnya. Encik Harri Santoso yang juga alumni suluh budiman menyatakan bahawa dirinya sentiasa bangga membawa nama UPSI dan kali ini kehadirannya bersama perwakilan mahasiswa dari Indonesia menjadi bukti kecintaannya terhadap universiti ini.
“Terima kasih UPSI atas segala kerjasama dan perkhidmatannya sepanjang kami disini. Semoga ini bukanlah yang terakhir dan kami sentiasa menantikan warga UPSI ke bumi Indonesia,” ucapnya.
Aspek kebudayaan terbukti dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama, selain menarik minat pelancong untuk datang ke Malaysia. Kesenian dan kebudayaan menjadi teraju utama dalam ekosistem pelancongan serta pendidikan yang akan membawa dampak positif kepada masyarakat.
Charis Frista Habis Madin, pengarah program menjelaskan makna disebalik pemilihan nama Astaka Wangsa. “Malaysia dan Indonesia sebagai saudara serumpun mempunyai persamaan dan keunikan kebudayaan tersendiri dan perkara ini bersesuaian dengan maksud Astaka Wangsa itu sendiri iaitu balai pertemuan bangsa. Dan ini memperlihatkan UPSI sebagai medan penyatuan budaya antarabangsa,” katanya.
Sepanjang program, tetamu dimanjakan dengan pelbagai persembahan seni budaya tradisional dan kontemporari dari mancanegara. Persembahan nyanyian irama melayu, tarian rampai, zapin, monolog, puisi bahkan muzik tarek pukat disajikan dan dipersembahkan dengan penuh kreatif dan sarat dengan makna.
Felo penasihat program, Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi mengungkapkan bahawa setiap perincian dalam persembahan membawa makna keberagaman yang mengusung konsep Astaka Wangsa itu sendiri.
“Saya menyusun konsep persembahan yang dibawa perlu sesuai dengan tema kebangsaan. Setiap seni yang ditunjukkan perlu dikemas dengan kreatif, bermakna dan meninggalkan rasa kepada penonton yang hadir,” katanya.
Tambahnya lagi, sentuhan kepakaran dari pelbagai pihak membawa kesempurnaan dalam penyusunan setiap persembahan.
“Kehadiran Noel Rendall, pegawai dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan memberikan sentuhan baru dan banyak membantu khususnya Exco Kesenian dan Kebudayaan KHAR dalam menyempurnakan setiap detail pergerakan dalam persembahan. Creative touch dari ahli persembahan yang terdiri dari mahasiswa UPSI membuktikan bahawa UPSI melahirkan potensi dan bakat serta membuka peluang mereka untuk bebas berkreatif,” tambahnya.
UPSI dan KHAR akan terus menjadi medan penyatuan dan persefahaman dalam jalinan komuniti dan antarabangsa. Kelestarian dalam kesenian dan kebudayaan akan terus dipelihara dan universiti akan sentiasa menyokong penganjuran program silang budaya yang membawa keharmonian dan kebanggaan buat negara Malaysia.