Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Universiti Pendidikan Sultan Idris menandatangi Surat Niat Kerjasama dengan Sports Analysis Services dalam usaha meningkatkan kepakaran analisis permainan dalam kalangan pelajar di Fakulti tersebut. Fakulti Sains Sukan diwakili Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Dr Ali bin Md Nadzalan yang mewakili Dekan Fakulti manakala Sports Analysis Services ditandatangani oleh pemiliknya, Encik Redzuan Ponirin.
Gambar (Dari kiri): Noorzaliza Osman, Ali Md Nadzalan, Reduan Ponirin dan Nor Fazila Malek bersama Surat Niat Kerjasama yang telah ditandatangani.
Persetujuan niat kerjasama dimeterai pada 29 Disember 2023 selepas berlangsung bengkel asas analisis permainan yang dianjurkan oleh Jabatan Sains Kejurulatihan. Menurut Ketua Jabatan Sains Kejurulatihan, Dr Noorzaliza Osman, bengkel ini dianjurkan untuk melatih pensyarah dan pelajar pascasiswazah di Fakulti tersebut sebelum ianya dikembangkan ke semua pelajar Sains Kejurulatihan.
‘Bidang Analisis Permainan merupakan bidang yang mendapat permintaan di luar. Kemahiran yang baik dalam kalangan pelajar akan membantu kebolehpasaran mereka selepas bergraduat.’ katanya. Kursus Analisis Permainan diambil oleh pelajar Sains Kejurulatihan pada semester 6 pengajian. Pelajar-pelajar ini didedahkan dengan analisis notasi beberapa sukan sebagai langkah meningkatkan pengetahuan dalam bidang tersebut.
Menurut Dr Ali, Fakulti menyasarkan bidang ini berkembang pesat dan Fakulti akan melahirkan ramai pelajar yang mempunyai kemahiran amat baik dalam bidang ini bermula pada tahun 2024. ‘Pada tahun 2024, lebih banyak aktiviti untuk meningkatkan kemahiran analisis permainan dijalankan di UPSI’. En. Redzuan pula berkata, dengan langkah baik yang diambil pihak Fakulti dan Universiti, perkembangan bidang analisis permainan di UPSI akan menjadi realiti untuk memenuhi permintaan di pasaran.