Oleh: Mohd Zulhilmi Jamlil
Projek Tahun Akhir (PTA) merupakan penyelidikan yang tidak asing lagi bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Pelaksanaan PTA boleh dikatakan sebagai asas penyelidikan yang amat signifikan dan wajib diselesaikan oleh pelajar sebelum menamatkan pengajian. Lazimnya, pembentangan PTA yang dilaksanakan di UPSI membabitkan pelajar ISMP tahun akhir mengikut fakulti. Misalnya, Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI adalah antara fakulti yang mewajibkan pembentangan PTA.
Dalam Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu (JBKM) Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, pembentangan PTA dikenali sebagai program Kolokium Lima Minit (KoLiMi). KoLiMi mula diadakan pada tahun 2021 oleh Kohort Hamzah Fansuri, kemudian diteruskan sehingga kini. Bertepatan dengan nama Kolokium Lima Minit, pembentangan PTA dilakukan dalam tempoh lima minit, diikuti sesi soal jawab selama tiga minit. Sepanjang KoLiMi berlangsung, pembentangan dinilai oleh pensyarah JBKM mengikut sesi yang ditetapkan.
Penilaian terhadap kajian pelajar membabitkan dapatan yang diperoleh berdasarkan objektif kajian yang telah ditetapkan. Proses penilaian oleh pensyarah terhadap pembentangan pelajar sebenarnya menggalakkan percambahan idea dan tunjuk ajar berkaitan cara menambah baik kualiti kajian. Secara amnya, dari segi ruang lingkup kajian, fokus penyelidikan menekankan kepada aspek pendidikan bahasa Melayu dan kajian linguistik. Antaranya, meliputi bidang pedagogi bahasa, tatabahasa, fonologi, semantik pragmatik, dan linguistik.
Program KoLiMi turut dihadiri oleh pakar atau tokoh sesuatu bidang selaku pengucaptama. Pakar dalam bidang pendidikan ini sudah tentu menjadi inspirasi atau suri teladan kepada pelajar untuk menceburi bidang pendidikan dengan lebih mendalam. Jemputan khas selaku pengucaptama program KoLiMi UPSI sebelum ini, antaranya Yang Berhormat Senator Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, dan Profesor Dr. Abdul Rasid Jamian. Pada Januari 2024, KoLiMi peringkat antarabangsa di UPSI bagi program ISMP Bahasa Melayu akan dihadiri oleh Dr. Nor Hashimah Jalaluddin, iaitu Presiden Persatuan Linguistik Malaysia yang merupakan pakar dalam bidang linguistik.
Kini, program KoLiMi telah menjejaki penganjuran buat kali ke-5 di bawah anjuran ISMP Bahasa Melayu UPSI dengan tema “Kelestarian Bahasa Melayu dalam Era Digital”. Beberapa anugerah turut dipertandingkan dalam KoLiMi membabitkan beberapa kategori, iaitu pembentangan terbaik dan poster terbaik. Penghargaan yang diberikan kepada pelajar PTA ini secara tidak langsung menggalakkan persaingan yang sihat untuk memajukan kemahiran kendiri.
PTA bukan sahaja memenuhi syarat bergraduasi, malah sebagai salah satu dorongan kepada pelajar untuk meneruskan kajian pada peringkat yang lebih tinggi, sama ada peringkat Sarjana (Master) ataupun Doktor Falsafah (PhD). Kajian peringkat PTA mendedahkan pelajar kepada pengetahuan asas dalam kajian ilmiah. Sebagai asas kajian, sudah tentu PTA merupakan bidang kajian yang tidak begitu kompleks dan meluas berbanding kajian peringkat Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD).
Pelaksanaan kajian sebenarnya menggalakkan peningkatan kompetensi pelajar dalam penulisan ilmiah. Aspek penting dalam penulisan bukanlah sekadar mengambil kira penggunaan bahasa Melayu yang betul, tetapi hal ini menuntut pelajar untuk mematuhi prosedur atau garis panduan penyelidikan. Misalnya dari segi bahan rujukan yang berautoriti, di samping mengelakkan amalan tidak sihat seperti plagiat. Kajian turut menggalakkan pelajar untuk menguasai penggunaan metode kajian yang sesuai, bermula daripada proses mengumpul data sehingga proses analisis.
Hasil daripada program KoLiMi, sumbangannya sudah tentu amat besar kepada pelajar dan pensyarah kerana pihak universiti berpeluang menerbitkan e-prosiding. Program ini turut memperluas kajian tentang bahasa Melayu, malah mengasah kemahiran interpersonal, kemahiran menyelesaikan masalah, dan menggalakkan proses berfikir secara kreatif dan kritis. Justeru, program-program pendidikan, baik secara formal mahupun tidak formal sudah pasti membentuk kemenjadian pelajar yang holistik, sesuai dengan matlamat pendidikan negara.