Oleh: Dr.Mardiana Ismail (FMSP)
Petaling Jaya: Fakulti Muzik dan Seni Persembahan telah menjalankan sesi perkongsian ilmu bersama Pusat Aktiviti Anak-anak Masjid Ara Damansara, Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Subang dan Sekolah Menengah Kebangsaan TTDI Jaya.
Program dijalankan dengan menggunakan dana daripada Geran Knowledge Transfer Programme oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, UPSI. Selain itu, program turut mendapat tajaan dari Persatuan Teater Malaysia, Persatuan Laskar Lantera dan Masjid Ara Damansara terutama dari segi penyediaan tempat, makan minum dan kelengkapan teknikal.
Program pemindahan ilmu yang bertajuk ‘Program Pemindahan Ilmu Teknik Persembahan Tradisi Lisan dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah di Daerah Petaling Jaya, Selangor’ ini dijalankan oleh para pensyarah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, UPSI yang juga penyelidik UPSI dengan menyampaikan ilmu asas tradisi lisan seperti mimik muka, ucap tetap, penyuaraan dan juga aksi-reaksi kepada 40 orang pelajar sekolah yang terlibat sebagai peserta.
Menurut Jamal, Pengerusi Persatuan Laskar Lantera selain memperkuat pemahaman dan apresiasi terhadap seni persembahan tradisi lisan, usaha UPSI untuk merealisasikan program pemindahan ilmu ini dapat menbantu pembentukkan sosial pelajar. Pembentukan itu adalah melalui penglibatan, kolaborasi, bekerjasama, menghargai keragaman budaya dan mengembangkan rasa kebersamaan dalam komuniti.
Oleh itu tradisi lisan memiliki nilai budaya yang kaya dan memainkan peranan penting dalam pembentukan sosial pelajar. Namun, dengan pengaruh budaya popular yang semakin kuat dan perkembangan teknologi yang pesat, seni persembahan tradisional seringkali terpinggir dan terancam. Oleh itu, pelbagai program untuk memperkuat dan mempertahankan seni persembahan tradisi lisan dalam konteks pembentukan sosial pelajar wajar dilaksanakan.
Salah satu pendekatan yang dapat digunakan adalah melalui program pemindahan ilmu ini. Program ini bertujuan untuk pemindahan pengetahuan, keterampilan dan nilai-nilai yang terkandung dalam seni tradisi lisan kepada generasi muda. Dengan demikian, program pemindahan ilmu dapat menjadi sarana penting untuk memperkuat dan mempertahankan warisan seni persembahan tradisional.
Melalui program ini, pelajar akan terlibat secara langsung dalam mempelajari, mempraktikkan, dan memahami seni persembahan tradisi lisan. Mereka akan belajar tentang sejarah, teknik, dan konteks budaya seni tradisi lisan ini. Selain itu, mereka juga akan memahami nilai-nilai sosial, etika dan kearifan lokal yang terkait dengan seni persembahan tradisional.
Dengan demikian, pembangunan seni tradisi lisan melalui program pemindahan ilmu dapat menjadi sarana yang efektif dalam memperkuat pembentukan sosial pelajar. Program ini tidak hanya berperanan dalam melestarikan warisan budaya, tetapi juga membentuk karektor, memupuk kreativiti dan mengembangkan kemampuan sosial pelajar.