Kuala Selangor: Seramai 69 orang pelajar daripada dua buah universiti tempatan iaitu UPSI & UiTM Seri Iskandar telah menjayakan program Citizen Scientist pada 6 Januari 2024 di pesisir pantai Sungai Janggut dan Sungai Sembilang, Kuala Selangor. Program Citizen Scientist ini merupakan aktiviti Service Learning Malaysia-University for Society (SULAM) kursus Ekologi (SBV3013) di bawah Jabatan Biologi, Fakulti Sains & Matematik, UPSI dengan kerjasama Center of Biodiversity and Conservation (CeBEC) UPSI, Jabatan Pengajian Alam Bina & Teknologi, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Seri Iskandar, Perak serta komuniti Nelayan Sungai Sembilang & Sungai Janggut, Kuala Selangor.

Aktiviti utama program anjuran pelajar kursus Ekologi yang diketuai oleh saudara Muhammad Arash Haszelan dan di bawah bimbingan Dr Nur Munira Azman ini adalah aktiviti pembersihan pantai dan memerhati burung pantai hijrah (migratory shorebirds). Kawasan pesisir pantai Kuala Selangor telah dipilih sebagai tempat pembersihan kerana kawasan ini merupakan tempat persinggahan ribuan burung pantai hijrah yang bermigrasi dari hemisfera utara ke kawasan negara kita.

Burung pantai hijrah ini melakukan penerbangan migrasi sejauh ribuan kilometer untuk mengelakkan musim sejuk di negara asal mereka. Burung-burung ini juga merupakan burung berstatus terancam di peringkat global. Antara ancaman kepada spesis ini adalah pencemaran plastik dan kemusnahan habitat. Justeru, program ini adalah penting dalam meningkatkan kecintaan terhadap khazanah biodiversiti dunia dan seterusnya meningkatkan kelestarian alam sekitar.

Menurut salah seorang peserta program iaitu Muhammad Rifqi Mohammad Razali memberitahu, “Program ini telah memberi kesedaran pentingnya menjaga alam sekitar dan habitat burung pantai hijrah, buat pertama kalinya saya merasai sendiri pengalaman menggunakan peralatan seperti teleskop dan binokular untuk melihat burung-burung pantai hijrah yang singgah dipersisir pantai negara kita. Pengalaman ini amat berharga dan menyemaikan rasa cinta kita kepada khazanah alam semulajadi”.

Aktiviti pembersihan pantai di sepanjang pesisir pantai Sungai Janggut, Kuala Selangor

Menerusi program ini, komuniti tempatan turut didedahkan tentang pencemaran plastik yang mengancam populasi burung pantai hijrah. Peserta juga berpeluang untuk mempelajari teknik asas memerhati burung pantai dengan menggunakan teleskop dan teropong. Program ini juga telah mendapat perhatian daripada YB Dato’ Harrison Hassan, Ahli Dewan Negeri, Jeram di mana beliau telah memberikan sumbangan material (sewaan tong roro) dan turut bersama-sama turun padang sebagai tanda sokongan kepada usaha murni pelajar UPSI meningkatkan pendidikan konservasi melalui perkongsian ilmu yang dipelajari dalam bilik kuliah kepada komuniti.

Menurut YB Dato’ Harrison Hassan, program seumpama ini memberi peluang kepada orang awam untuk memahami kepentingan dan menghargai alam sekitar. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UPSI dan berharap program seumpama ini dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang. Komuniti Kampung Bagan Sungai Janggut turut membantu dalam menyediakan khemah kepada para peserta secara percuma.

Program ini turut dihadiri oleh Dr. Noraine Saleh Huddin (Ketua Jabatan Biologi, FSM, UPSI), Dr. Lilawati Ab Wahab (Pensyarah UiTM), En. Tan Jen Hoe (Ketua Kampung Bagan Sungai Janggut), Razak Yusoff (Ketua Pengkalan Sungai Janggut), dan Norhizam Sarif (Ketua Hub Nelayan Sungai Sembilang).

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)