Oleh: Mohamad Hafiz Ahmad
TANJUNG MALIM – Kebajikan dan kerohanian merupakan merupakan salah satu nilai yang menjadi asas kepada jati diri seseorang individu. Daripada Abu Ummah, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Riwayat Ahmad)
Dengan kerjasamaBeryl’s Chocolate Factory Sdn Bhd, Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI dan Muzium Pendidikan Nasional UPSI, Exco Kebajikan dan Perkhidmatan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) telah menganjurkan program Student for Society (S4S) yang berlangsung pada 6 hingga 7 Januari sebagai satu usaha menyantuni dan mengeratkan hubungan silaturahim di antara Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid dan peserta program.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, Mohd. Zairul Fahmi Mohd. Nazar menyatakan bahawa program ini sangat bermanfaat kerana pendedahan yang diberikan mampu memperkasa nilai tambah sedia ada kepada peserta. “Saya melihat bahawa program ini telah meningkatkan pengetahuan dan kesedaran anak-anak mengenai kepentingan mengetahui asas menjaga keselamatan diri apabila berlaku kecemasan,” katanya.
Dr. Haji Che Anuar Che Abdullah, Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, menzahirkan rasa syukur apabila program ini berjalan dengan jayanya hasil daripada kerjasama yang baik daripada pelbagai agensi. Program yang bermatlamat meraikan anak-anak asnaf dan anak yatim ini juga telah memberikan motivasi kepada mereka untuk belajar sehingga berjaya ke menara gading.
“Saya berharap agar semua peserta dapat mengambil peluang ini untuk diaplikasikan pada masa hadapan. Jaga akhlak, jaga adab dan jadilah insan yang disukai ramai serta janganlah membuat perkara yang tidak diingini,” katanya.
Bersesuaian dengan matlamat program, “Santuni Komuniti Madani Demi Menggapai Mimpi”, yang menjadi hala tuju utama bagi memastikan peserta mendapat pengetahuan tentang pentingnya tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Felo penasihat program Nazrin Yusri, berkata bahawa program ini amat berketepatan dengan KPM yang menyasarkan bahawa mahasiswa perlu menjadi seorang pemimpin dan menganjurkan program-program komuniti. Ia juga salah satu program yang boleh memberi impak yang baik kepada masyarakat untuk membantu golongan ini. Diharapkan ia juga akan menjadi program yang berpanjangan di masa akan datang,” katanya.
Program ini menggunakan inisiatif yang dipanggil sebagai ‘abang angkat’ di mana peserta akan tinggal bersama dengan penghuni Kolej Harun Aminurrashid. Inisiatif ‘abang angkat’ adalah langkah terbaik dalam usaha mewujudkan hubungan antara penghuni kolej dengan peserta yang terdiri daripada golongan asnaf dan anak yatim ini.
Pengarah Program, Siti Nurzahirah Mohd Zulkifli menjelaskan bahawa dengan berlangsungnya program ini dapat menyuntik semangat kekeluargaan antara satu sama lain agar dapat menyemai perasaan kasih sayang seawal usia. “Pengalaman yang saya perolehi ini amat bermakna dan berharga untuk dijadikan inspirasi semasa menjadi seorang guru pada masa hadapan,” katanya.
Hasrat pertemuan ini adalah bagi meneruskan lagi dan memberikan pengalaman yang berharga kepada mahasiswa untuk lebih memahami dan sedar bahawa mereka perlu bersyukur dalam menjalani hidup sebagai seorang mahasiswa. Program ini juga berhasrat untuk mendekatkan lagi mahasiswa dengan komuniti agar mereka menjadi seorang mahasiswa yang lengkap dari segala aspek selari dengan slogan universiti iaitu untuk mewujudkan mahasiswa yang holistik sekaligus menjadikan universiti sebagai peneraju kebitaraan pendidikan.
Diharapkan agar semua yang terlibat dalam program ini khususnya para mahasiswa mendapat pendedahan dan pengetahuan berkaitan dengan aktiviti sosial yang dijalankan demi pembangunan sejagat golongan asnaf dan anak yatim.