Oleh: Nur Izza Syazana Abd.Razak & Esther Stephen (Pelajar Latihan Industri, BKK, UPSI)
TANJONG MALIM – Fakulti Komputeraan dan Meta Teknologi (META), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjalankan satu Projek Santun Masyarakat di bawah anjuran Kumpulan 6 bagi memenuhi keperluan kursus KPG3013 AT20C bertemakan Pentaksiran Interaktif Blooket di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Rahah, Sungai Besar, Selangor yang ditaja oleh Syarikat Bigmove Sdn Bhd pada 10 Januari. Program ini dihadiri oleh seramai 33 orang guru dan berlangsung selama sehari bermula dari pukul 2.40 petang sehingga 4.20 petang.
Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025), satu inisiatif tranformatif dan fleksibel untuk meningkatkan Service Learning (SL) sebagai satu pendekatan pedagogi telah diperkenalkan di mana ia bertujuan untuk mencapai matlamat negara bagi melahirkan graduan yang kompeten dalam sektor pekerjaan.
Setiap institusi pengajian tinggi wajar mereka bentuk set panduan SL tersendiri selaras dengan bidang kepakaran universiti masing-masing. Seiring dengan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkenalkan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) untuk dilaksanakan dalam konteks pengajian tinggi.
UPSI juga menerima tanggungjawab menjalankan SULAM merentas pelbagai disiplin ilmu yang ditawarkan di UPSI dikenali sebagai Projek Santun Masyarakat (PSM). PSM bukanlah satu aktiviti kerja sukarelawan tetapi ia adalah aktiviti menyantuni dengan memfokuskan pembelajaran sivik terhadap komuniti sasaran dalam masyarakat.
Sehubungan dengan itu, Pentaksiran Interaktif Blooket diperkenalkan adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada guru-guru di sekolah tentang penggunaan teknologi digital di dalam kelas supaya proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) menjadi lebih menarik dan efektif. Hal ini demikian kerana penggunaan teknologi digital dapat menarik minat pelajar melalui permainan digital berbentuk kuiz dalam pelbagai cara.
Selain itu, Ia dapat mengubah proses pembelajaran secara tradisional kepada gaya pembelajaran yang baharu seiring dengan perkembangan teknologi digital. Murid-murid akan berminat untuk lebih aktif dalam menyertai aktiviti-aktiviti di dalam kelas agar Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) dapat dicapai selaras dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun lepas.
“Kami berharap guru-guru SMKA Tun Rahah dapat menggunakan laman web Blooket dalam sesi pembelajaran mereka dengan lancar dan semoga dengan adanya laman web ini dapat membantu para pelajar di SMKA Tun Rahah untuk lebih bersemangat serta dapat memberi tumpuan sepenuhnya di dalam kelas. Selain itu, kami juga berharap agar pelajar berasa lebih seronok dan tidak bosan sewaktu sesi pembelajaran dijalankan dan kuiz dilaksanakan dalam bentuk gamifisaki.”