Oleh: Nurul Atikah Emri & Hidawi Fuad

Tanjong Malim:  Lebih dari 300 pelajar UPSI telah menghadiri program ‘Selamatkan Masa Depan Anda: Muda & Kaya Bersama KWSP’ yang dianjurkan oleh Kelab Ekonomi UPSI (UPSINOMICS). Program dengan kerjasama Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berlangsung dengan meriahnya pada pada10 Januari yang lalu di Dewan Kuliah UPSI. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pemahaman kepada peserta mengenai pentingnya pengurusan kewangan yang cekap dan penyimpanan dana persaraan bagi menjamin masa hadapan.

Program ini telah diterajui oleh Nik Mohammad Syamil Iman Mad Rosli, pakar dari KWSP cawangan Teluk Intan yang telah berkongsi maklumat bermanfaat mengenai KWSP dan kepentingannya dalam menjamin masa depan kewangan yang lebih cerah. Beliau menekankan tentang kebijaksanaan dalam perancangan kewangan jangka panjang dan manfaat menyimpan bersama dengan KWSP.

Antara sesi yang menarik adalah sesi soal jawab di antara peserta dan penceramah. Majoriti peserta secara tidak langsung menunjukkan betapa caknanya mereka tentang kewangan. Salah satu soalan yang diajukan oleh pelajar adalah mengenai dividen skim i-Saraan sebanyak 15%. Nik Mohammad Syamil menjelaskan bahawa dividen ini adalah skim yang masih berjalan dan diberikan oleh kerajaan, namun kerajaan berhak untuk menamatkannya pada bila-bila masa sahaja.

Soalan lain yang menarik yang telah diajukan berkenaan perbezaan antara pencen biasa dengan pencen KWSP. Nik Mohammad Syamil menjelaskan, “Pencen biasa diberikan setiap bulan selepas bersara dan bergantung kepada jumlah gaji setiap orang itu diantara 45-60% dari gaji akhir sebelum bersara. Manakala pencen KWSP boleh dikeluarkan sebanyak yang diperlukan dalam sebulan,” katanya.

Turut hadir dalam sesi tersebut adalah Dr. Khalizul Khalid, Timbalan Dekan HEPA, FPE yang juga tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan mengenai berbaloikah sekiranya penyimpan mengeluarkan dana simpanan KWSP dan mencarum ke dalam Dana Amanah yang lain. Nik Mohammad Syamil menjelaskan jika peratusan yang diberikan oleh Unit Amanah lebih tinggi, KWSP akan membenarkan pencarum mengeluarkan dana mereka. Namun secara logiknya, KWSP memberikan jumlah dividen yang lebih tinggi pada setiap tahun berbanding Unit Amanah yang lain.

Tidak cukup dengan kemeriahan soalan bertalu-talu daripada peserta, program ini juga turut menyediakan sesi bimbingan untuk mendaftar sebagai ahli KWSP dan kegunaan sistem i-Saraan yang dikelola oleh Muhammad Zaidi Mokhtar. Di penghujung program tersebut, terdapat beberapa pelajar semester akhir yang mencuba nasib untuk mendapatkan penempatan latihan industri dengan pihak KWSP.

Program ini bukan sahaja dapat membantu semua peserta tentang pengurusan kewangan malah, menjadi jambatan penghubung untuk pelajar mencari peluang pekerjaan selepas bergraduasi. Majlis diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata, plak penghargaan sesama pelajar, pensyarah, dan kakitangan KWSP yang hadir serta bergambar kenangan.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)